Kluster Sivagangga: 'Seminggu putus hubungan dengan keluarga walaupun serumah' - Penduduk Napoh

Fareez Azman
Ogos 5, 2020 18:12 MYT
Rejab berkata dari pemerhatiannya, pelanggan di restoran berkenaan gagal mengamalkan penjarakan sosial sesama sendiri. - Foto Rejab Abu Bakar
"Seminggu saya terpaksa putuskan hubungan dengan keluarga saya, walaupun tinggal serumah."
Itu luahan salah seorang pelanggan tetap sebuah restoran di Nasi Kandar Napoh, Kedah yang dipercayai menjadi punca kluster Sivagangga merebak sejak minggu lalu.
Rejab Abu Bakar, 62 tahun, ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu, dia memaklumkan mula merasa gentar selepas mengetahui kes jangkitan dikaitkan dengan restoran terbabit sebelum menjalani saringan COVID-19 di klinik kesihatan berhampiran pada 30 Julai lalu.
Kata Rejab, penduduk Kg Charok Mokkan itu, dia terpaksa mengasingkan diri dari ahli keuarga yang lain selepas menjalani ujian saringan pertama.
"Keluarga saya rasa takut sebelum saya dapat keputusan, saya pun mengambil keputusan untuk tidak bercampur dengan ahli keluarga. Saya duduk di bilik atas (tingkat atas) dan guna bilik air di luar rumah, saya tidak langsung berkongsi bilik air dengan keluarga.
"Kalau nak dikira, memang boleh dikatakan terputus hubungan saya dan keluarga, nasib baik rumah saya ada bilik air asing di dalam dan luar rumah. Memang tidak pernah terjadi perkara macam ini, memang rasa takut dan sekarang ini pekan Napoh seperti pekan hantu," katanya.
Bagaimanapun, selepas lima hari berasingan dengan keluarga, akhirnya keputusan saringannya negatif
COVID-19.
Menceritakan pengalaman ketika pihak berkuasa hadir ke restoran terbabit sebelum ditutup, Rejab menjelaskan pemerhatiannya mendapati tiada penjarakan fizikal diamalkan di kedai terbabit namun mengakui, kesemua pelanggan memakai pelitup muka ketika itu.
"Macam biasa sahaja, masa tengah makan itu tidak ada penjarakan sosial pun. Semua pakai pelitup muka, penjarakan tidak ada. Hari yang mereka datang sita kedai pagi itu, saya ada tengok polis dengan tentera datang ke kedai itu," katanya.
Sebagai pelanggan tetap, penjarakan fizikal sukar dilakukan di kedai berkenaan kerana menjadi tumpuan terutama kepada pelajar dan penduduk tempatan.
#COVID-19 #Kedah #Kluster Sivagangga #kuarantin #Napoh #Nasi Kandar Napoh #Pekan #rakyat #Rejab Abu Bakar #Restoran Nasi Kandar #saringan
;