Kluster Sala: Ziarah di hospital mungkin pencetus penularan COVID-19

Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 18, 2020 19:09 MYT
Satu lagi kluster baru dikenali sebagai Kluster Sala dikesan di Daerah Yan melibatkan seorang lelaki yang dikesan positif pada 13 Ogos lalu. Foto: Bernama
Penularan COVID-19 dalam Kluster Sala dipercayai berpunca daripada aktiviti menziarah pesakit di hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun tiada kes positif COVID-19 dikesan daripada saringan di hospital tersebut, namun kesemua ahli keluarga yang pergi ke pusat rawatan berkenaan bersama kes indeks untuk menziarah seorang pesakit didapati positif.
“Jangkitan COVID-19 seterusnya telah merebak kepada kontak-kontak rapat kes indeks dan ahli keluarganya.
“Dikhuatiri amalan melawat di hospital mungkin menyumbang kepada penularan jangkitan memandangkan di hospital terdapat banyak pesakit dan mengundang risiko jangkitan,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Justeru, Dr Noor Hisham menasihatkan semua pihak supaya memastikan langkah berjaga-jaga diambil jika mempunyai keperluan mendesak untuk menziarah pesakit di hospital.
BACA: COVID-19: Satu kes baharu Kluster Tawar, dua Kluster Sala
Bagi Kluster Tawar pula, Dr Noor Hisham memaklumkan penularan COVID-19 didapati disumbang oleh perhimpunan di kalangan ahli keluarga yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.
“Misalnya, kapasiti tetamu perhimpunan tidak mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal yang selamat di antara satu sama lain.
“Ini membantu penularan yang meluas dalam kluster ini, meskipun kes indeks dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan,” ujarnya.
#COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Hospital #kes positif #Kluster Sala #Kluster Tawar #SOP
;