Kluster pendidikan: Pelan tindakan bersepadu gagal dirangka, punca kecelaruan - Madius Tangau

Isabelle Leong
April 24, 2021 15:04 MYT
MADIUS: ika anda gagal melaksanakan tugas, undur diri sahaja dan ia adalah hak prerogatif Perdana Menteri untuk melantik (menteri dan timbalan menteri) yang baharu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan seharusnya merangka satu pelan tindakan yang bersepadu membabitkan kementerian terlibat seperti Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan pelajar-pelajar tidak terjejas akibat kluster pendidikan COVID-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.
Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata kerajaan dilihat gagal menyediakan garis panduan yang jelas bagi pembukaan sekolah secara peringkat sehingga menyebabkan banyak kecelaruan yang timbul.
“Sebagai contoh, apabila terdapat kes positif jangkitan COVID-19, sekolah tersebut ditutup.
“Apakah langkah yang harus diambil, seperti pembelajaran? Apakah langsung tiada sekiranya sekolah ditutup atau apakah sistem pembelajaran pada tempoh penutupan sekolah itu?
“Apakah hala tuju dan pendekatan yang disediakan oleh kerajaan melibatkan pelbagai agensi? Tentunya ia perlu diselaraskan oleh KPM,” katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Pada masa yang sama, beliau juga mendesak agar Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Radzi Jidin dan dua timbalan menterinya, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Muslimin Yahaya untuk meletak jawatan .
“Kalau tidak mampu melaksanakan, undur diri. Itu perkara yang terpuji.
“Ini melibatkan ratusan ribu pelajar dan guru.
“Jika anda gagal melaksanakan tugas, undur diri sahaja dan ia adalah hak prerogatif Perdana Menteri untuk melantik (menteri dan timbalan menteri) yang baharu,” katanya.
Terdahulu, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti pembangkang menyifatkan keadaan pengurusan sekolah-sekolah kerajaan dalam mendepani pandemik COVID-19 ketika ini 'semakin cacamarba'.
[TERKINI] Kluster Pendidikan | Menteri, Timb. Menteri KPM digesa letak jawatan
Susulan itu, menerusi satu kenyataan bersama lapan pemimpin politik, mereka mendesak Menteri Kanan (Pendidikan) dan dua timbalan menterinya supaya meletak jawatan.
Kenyataan tersebut dibuat Ahli Parlimen PH dan parti pembangkang yang terdiri daripada Dr Maszlee Malik selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH, Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP), Datuk Dr Hasan Baharom (Parti Amanah Negara), DSP Wilfred Madius Tangau (Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu atau UPKO), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Parti Malaysian United Democratic Alliance atau MUDA), Datuk Amiruddin Hamzah (Parti Pejuang Tanah Air) dan Ahmad Hassan (Parti Warisan Sabah).
Mereka berkata, kemarahan rakyat, terutamanya para guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa, berhubung lemahnya pengendalian kerajaan dan KPM terhadap situasi terkini dapat dilihat di media sosial.
#pengurusan sekolah #Kluster Pendidikan #Wilfred Madius Tangau #garis panduan #pelan tindakan bersepadu #Kementerian Pendidikan #kecelaruan #Dr Radzi Jidin #Dr Mah Hang Soon #Muslimin Yahaya #Perdana Menteri #Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan #PH
;