'Kluster Mahkamah': Polis nafi tidak ambil tindakan awal perhimpunan penyokong Najib

Astro Awani
Julai 29, 2020 14:40 MYT
Polis sebelum ini hanya menjangkakan seramai 800 ke 900 orang sahaja yang akan hadir tetapi jumlah yang datang dikatakan mencecah ribuan orang. - Gambar fail/BERNAMA
Polis menafikan tidak mengambil tindakan awal terhadap perhimpunan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ketika perbicaraan Datuk Seri Najib Razak semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk penganjur, sudah dilakukan minggu lalu.
Bagaimanapun beberapa arahan yang dikeluarkan didapati telah dilanggar oleh kumpulan penyokong berkenaan.
Antara dibincangkan dalam pertemuan itu adalah kewajiban menjaga jarak khususnya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berlangsung.
“Saya boleh nyatakan, apapun siasatan sedang kita teruskan dan mengharapkan bahawa kita boleh lengkapkan siasatan dan kita serahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk menilai kes ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran IPD Sentul, di sini pagi tadi
Datuk Mazlan berkata, penganjur perhimpunan juga akan dipanggil membantu siasatan kerana ingkar arahan yang sudah diberikan pihak berkuasa.
Polis sebelum ini hanya menjangkakan seramai 800 ke 900 orang sahaja yang akan hadir tetapi jumlah yang datang dikatakan mencecah ribuan orang.
BACA: LAPOR LANGSUNG Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta
BACA: Ramai bimbang 'kluster mahkamah', polis ingatkan penyokong Najib tentang penjarakan sosial
Mengulas lanjut mengenai tindakan susulan yang bakal dikenakan, Datuk Mazlan berkata, ketika ini pihaknya sedang meneliti kesalahan mengikut Akta Perhimpunan Aman dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dan akan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan individu terbabit.
Laporan polis katanya sudah dilakukan oleh orang awam dan siasatan berhubung perkara berkenaan juga sudah dijalankan.
Perhimpunan penyokong bekas perdana menteri itu semalam mengejutkan rakyat Malaysia yang bimbang penularan COVID-19 akan berlaku dalam kalangan mereka yang hadir berikutan tiada penjarakan sosial selain ribuan yang hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur itu dilihat tidak mengendahkan arahan yang ditetapkan.
Najib, 67, pada Selasa didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
#CCTV #Kes SRC #Ketua Polis Negara #Kuala Lumpur #mahkamah #Najib Razak #Peguam Negara #penjarakan sosial #perhimpunan #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #polis #rakyat #rakyat Malaysia #siasatan
;