Kluster Jalan Canning Estate: Bazar Ramadan Stadium Perak dikawal ketat

Bernama
April 13, 2021 04:14 MYT
Anggota polis mengawal pintu masuk bazar ketika orang ramai hadir untuk membeli juadah berbuka puasa dalam suasana norma baharu ketika tinjauan di Bazar Ramadan Stadium Perak, 13 April, 2021. - BERNAMA
IPOH: Penganjuran Bazar Ramadan di Stadium Perak di sini dikawal ketat, susulan kewujudan kluster komuniti yang dikenal pasti di Jalan Canning Estate, yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan itu, bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, kawalan serta pemantauan bagi prosedur operasi standard (SOP) di Bazar Ramadan membabitkan sebanyak 110 gerai itu, dijalankan oleh pihak berkuasa terdiri dari Jabatan Sukarelawan Malaysia dan pihak polis.
"Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan sentiasa memperketatkan pematuhan SOP dan pihak kami akan sentiasa menerima nasihat daripada Majlis Kesihatan Negara (MKN).
"Pihak MBI juga akan sentiasa patuh pada arahan daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita di Bazar Ramadan berkenaan pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata Bazaar Ramadan Stadium Perak dilaksanakan dengan laluan khas untuk keluar dan masuk, dengan dikawal oleh petugas.
Tinjauan Bernama mendapati, pengunjung mematuhi SOP dengan merekodkan kehadiran dan mengambil suhu sebelum memasuki kawasan bazar, selain menjaga penjarakan fizikal antara pengunjung.
Seorang anggota Rela yang bertugas, Iskandar Shah, 51, berkata, pengunjung mula membanjiri Bazar Ramadan itu seawal pukul 3.30 petang.
"Para peniaga pula datang melakukan persiapan jualan sekitar pukul 3.00 petang," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Bazar Ramadan Medan Gopeng turut mendapati pengunjung mematuhi SOP ditetapkan, dengan dikawal pasukan keselamatan walaupun kembali dibanjiri pengunjung setelah setahun ia tidak beroperasi.
Menurut peniaga minuman Mohd Hanif Zamzuri, 31, kemeriahan bazar pada kali ini sedikit berbeza, berbanding sebelum kedatangan pandemik COVID-19.
"Dahulu banyak peniaga kerana khemah jualan tiada penjarakan, tetapi sekarang peniaga juga kena jaga jarak namun sambutan masih memberangsangkan," katanya.
-- BERNAMA
#Bazar Ramadan #SOP #COVID-19 #Majlis Bandaraya Ipoh #kawal ketat #Jalan Canning Estate #pematuhan #MKN #gerai #RELA #pengunjung #pasukan keselamatan #Bazar Ramadan Medan Gopeng #peniaga #jaga jarak #kluster komuniti #polis #ramadan2021
;