Kluster baharu dikenali Kluster Benteng Lahad Datu dikesan - Dr Noor Hisham
Fareez Azman
September 1, 2020 17:50 MYT
September 1, 2020 17:50 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu dikenali sebagai Kluster Benteng Lahad Datu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia melibatkan jangkitan dalam kalangan pendatang tanpa izin (PATI) yang disaring di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah.
"KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu telah dikenal pasti hasil saringan terhadap tahanan baharu di lokap IPD Lahad Datu.
"Setakat ini, seramai 50 orang tahanan telah disaring pada 28 Ogos 2020. Daripada jumlah ini tujuh kes dikesan positif COVID-19 dan 43 individu negatif," katanya dalam sidang media pada Selasa.
Enam daripada kes positif jelasnya merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang warganegara tempatan.
"Kesemua kes positif ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.
"Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat masih diteruskan. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Hospital
#Kementerian Kesihatan
#kes positif
#KKM
#Kluster Benteng LD
#Lahad Datu
#pati
#siasatan