Kluster baharu di Sabah babit jurulatih PULAPOL
Eleanor Michelle Patrick
September 2, 2021 22:23 MYT
September 2, 2021 22:23 MYT
KOTA KINABALU: Kluster Jalan Pahlawan yang baru dilaporkan di Sabah hari ini membabitkan seorang jurulatih di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata penularan jangkitan berlaku dalam kalangan pelatih, rakannya, pekerja dewan makan pusat itu serta keluarga mereka.
Tambah beliau, jangkitan berkaitan kluster itu melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Penampang.
"Kluster Jalan Pahlawan adalah kluster jenis institusi latihan. Kluster ini berlaku di PULAPOL Kota Kinabalu yang terletak dalam Mukim Petagas.
"Penularan jangkitan berlaku dalam kalangan pelatih konstabel polis, tenaga jurulatih polis, pekerja di dewan makan pusat latihan berkenaan serta turut menjangkiti ahli keluarga mereka," katanya.
Menurutnya, kes indeks berusia 44 tahun itu yang tinggal di Perumahan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Blok Orkid Kepayan telah disahkan positif COVID-19 pada 26 Ogos lalu.
Anggota polis terbabit bergejala sejak 24 Ogos sebelum menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Luyang, Kota Kinabalu dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Pirasan di Kota Belud bagi rawatan lanjut.
"Daripada 72 sampel yang diambil, sebanyak 45 kes adalah positif termasuk 41 kes baharu pada hari ini, manakala sembilan sampel didapati negatif dan 18 masih menunggu keputusan ujian saringan," katanya menerusi satu kenyataan media, pada Khamis.
Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata sebanyak 2,329 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini.
Selain itu, terdapat 33 kes kematian dicatat, iaitu 12 kes di Kota Kinabalu, diikuti sembilan kes di Sandakan, masing-masing tiga kes di Penampang dan Tenom, dua kes di Papar, manakala masing-masing satu kes di Tuaran, Putatan, Sipitang dan Keningau.