KLIYD 2017: Peluang anak muda bertukar pandangan dengan pemimpin

Irwan Muhammad Zain
November 25, 2017 17:49 MYT
KLIYD 2017 turut berazam untuk mendekati golongan muda dan memastikan pandangan mereka didengari malah hasil daripada program ini kelak akan dibawa ke peringkat tertinggi.
Isu keselamatan menyeluruh telah mendapat perhatian dalam pelbagai perbincangan dan dialog sejak kebelakangan ini kerana ia memberikan naratif keselamatan baru.
Menyedari kepentingan membincangkan isu keselamatan menyeluruh, satu forum belia antarabangsa yang dinamakan Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYD) 2017 yang membincangkan perkara tersebut akan diadakan pada 3 Disember nanti di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Menurut Pengerusi KLIYD 2017, Senator Khairul Azwan Harun menerusi wacana ini, golongan profesional muda, pelajar universiti, pemimpin NGO dan usahawan muda berpeluang untuk menyuarakan pandangan mereka terhadap isu keselamatan semasa kepada pemimpin negara.
"Anak muda hari ini ingin mendengar dengan secara langsung daripada pimpinan negara termasuk daripada pedana menteri, menteri pertahanan termasuk menteri belia dan sukan sendiri, sejauh mana hala tuju kita, kesiap siagaan kita untuk kita memiliki dan memahami konsep total security atau keselamatan menyeluruh.
"Inilah masa dan ketikanya untuk golongan muda atau belia mengambil peluang untuk bersama-sama berinteraksi dan menyampaikan pandangan kepada pemimpin negara," katanya kepada Astro AWANI.
Antara isu yang akan disentuh termasuklah isu migrasi, ekstremisme, perubahan iklim, keselamatan makanan, tenaga dan air, hubungan antara kaum dan juga keselamatan siber.
“Persidangan kali kedua ini bakal membincangkan secara mendalam tentang ancaman-ancaman semasa dan masa hadapan yang dihadapi oleh Malaysia dan rantau ASEAN termasuklah isu migrasi, ekstremisme, perubahan iklim, keselamatan makanan, tenaga dan air, hubungan antara kaum dan juga keselamatan siber.
Selain pemimpin utama negara, KLIYD 2017 juga turut mengundang beberapa tokoh akademik dan pakar dari dalam dan luar negara untuk memberi pandangan mengenai isu keselamatan menyeluruh.
“Tujuan utama forum atau wacana ini dianjurkan adalah untuk menyediakan sebuah platform dialog antara golongan muda atau belia dengan pemimpin-pemimpin negara.
"Selain pemimpin-pemimpin utama negara, tokoh akademik dan pakar dari dalam dan luar negara juga turut dijemput sebagai panel dalam membincangkan isu-isu keselamatan menyeluruh yang menjadi tema wacana tahun ini.
“Sehubungan itu, golongan muda atau belia dari berbagai bidang dijemput bagi menyertai program ini dan kali ini kita menjangkakan penyertaan seramai 3,000 orang,”
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abduk Razak akan menyampaikan ucaptama seterusnya merasmikan KLIYD 2017 manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zamry Abd Kadir akan menyampaikan ucaptama khas.
Bagi ucaptama penutup pula akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Tambah Khairul Azuan, KLIYD 2017 turut berazam untuk mendekati golongan muda dan memastikan pandangan mereka didengari malah hasil daripada program ini kelak akan dibawa ke peringkat tertinggi.
KLIYD 2017 dengan tema ‘Embracing Total Security: Why It Matters’ adalah kali kedua diadakan selepas penganjurannya pada tahun lalu.
#keselematan menyeluruh #Khairul Azuan Harun #KLIYD 2017 #Malaysia #Naib Ketua Pemuda UMNO #PWTC #total security #UMNO #Wacana
;