Klinik Kesihatan Tangkarason musnah terbakar
Sinar Harian
Februari 15, 2024 12:30 MYT
Februari 15, 2024 12:30 MYT
BELURAN: Sebuah klinik kesihatan dan juga kuarters kakitangan musnah dalam kebakaran di Kampung Tangkarason, di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.08 pagi dan seramai empat anggota dikejar ke lokasi.
"Kebakaran melibatkan Klinik Kesihatan Tangkarason dan kuarters jenis tidak kekal yang terletak sejauh 215 kilometer dari BBP Beluran.
"Kedua-duanya terbakar 100 peratus semasa pasukan bomba tiba di lokasi dan usaha memadamkan kebakaran segera dilakukan menggunakan sumber air terbuka iaitu kolam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Edoen berkata, api hanya berjaya terkawal pada jam 6.20 pagi.
"Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat, namun maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya. - Sinar Harian