Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa terbakar 80 peratus, empat bilik musnah

Bernama
April 13, 2023 09:22 MYT
Situasi terkini Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Kelantan yang musnah 80 peratus akibat kebakaran dalam kejadian pada pukul 12.26 tengah malam, semalam. - Gambar BERNAMA
KOTA BHARU: Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa di sini terbakar 80 peratus akibat kebakaran empat buah bilik dalam kejadian pada pukul 12.26 tengah malam, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, PKPgB Alam Nasut Ilias berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi pada 12.33 tengah malam dan mendapati empat buah bilik iaitu bilik pemandu ambulans serta tiga bilik pemeriksaan doktor (pesakit luar) di klinik kesihatan berkenaan hangus dijilat api.
"Seramai 17 anggota termasuk bantuan daripada BBP Kota Bharu terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.18 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata tiada mangsa terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - BERNAMA
#Klinik Kesihatan terbakar #Pengkalan Chepa #kebakaran #Balai Bomba dan Penyelamat
;