Klinik Kesihatan Mansiat musnah dalam kebakaran

Bernama
Jun 14, 2022 22:33 MYT
Kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa manakala punca kejadian serta jumlah kerugian sedang disiasat. - Gambar/ FB Seberinus Mimie
KOTA KINABALU: Klinik Kesihatan Mansiat di Jalan Tulid, Sook yang terletak kira-kira 40 kilometer dari pekan Keningau musnah dalam kebakaran petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.48 petang dan lapan pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sook digegaskan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.
"Sebaik pasukan bomba tiba, didapati klinik berstruktur kayu itu sudah terbakar 100 peratus. Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 6 petang," menurut kenyataan itu.
Kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa manakala punca kejadian serta jumlah kerugian sedang disiasat.
Seorang penduduk, Rianna Malaju, 22, berterima kasih atas kepantasan pihak bomba tiba di tempat kejadian dan mengawal kebakaran.
"Klinik ini yang wujud sejak 1970-an memudahkan orang kampung mendapatkan rawatan dan khidmat kesihatan. Kami harap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera untuk membina semula klinik ini," katanya yang dihubungi.
-- BERNAMA
#klinik kesihatan mansiat #kebakaran #Kota Kinabalu #Keningau
;