Klinik Kesihatan Bandar Botanik kini beroperasi setiap hari - Dr Zaliha
Bernama
Mac 27, 2023 14:00 MYT
Mac 27, 2023 14:00 MYT
PUTRAJAYA: Klinik Kesihatan (KK) Bandar Botanik di Klang, Selangor kini beroperasi setiap hari termasuk hari kelepasan am, menjadi projek rintis bagi menangani kedatangan pesakit kategori zon hijau iaitu mereka yang mengalami gejala ringan dan kes bukan kecemasan di jabatan kecemasan dan trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pelaksanaan projek rintis kluster HTAR dan KK Bandar Botanik bermula Sabtu lepas itu bertujuan menangani isu kesesakan di jabatan kecemasan dan trauma HTAR itu dipersetujui Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR).
Melalui projek rintis itu, waktu operasi KK Bandar Botanik dipanjangkan dari 8 pagi hingga 9.30 malam dengan waktu menerima pendaftaran pesakit terhad hingga 9 malam.
"Justeru, saya berharap pesakit yang hanya mempunyai gejala ringan atau kes bukan kecemasan tidak lagi berkunjung ke jabatan kecemasan dan trauma HTAR sebaliknya hadir ke KK Bandar Botanik mengikut waktu yang ditetapkan.
"Perkara ini kerana sepatutnya jabatan kecemasan dan trauma, HTAR merawat kes kecemasan yang serius dan kritikal," kata Dr Zaliha ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.
Dr Zaliha dalam amanat tahun baharu 2023 sebelum ini mengumumkan pelaksanaan pelanjutan waktu di KK tertentu bagi mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu lama di jabatan kecemasan dan trauma hospital.
Waktu pengoperasian KK secara umumnya bermula 8 pagi hingga 5 petang dan KK tidak beroperasi pada Sabtu dan Ahad serta hari kelepasan am.
Dr Zaliha berkata perubahan pola kedatangan pesakit dari jabatan kecemasan dan trauma HTAR ke KK Bandar Botanik akan dipantau dalam tempoh pelaksanaan projek rintis ini.
"Ini bagi membolehkan KKM menentukan strategi pelaksanaan lebih baik bagi menangani isu kesesakan di jabatan kecemasan dan trauma HTAR," katanya.
Dr Zaliha dalam pada itu berkata kerajaan sentiasa komited untuk memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat menerusi pengoperasian fasiliti kesihatan baharu.
Beliau berkata objektif pembinaan hospital dan KK adalah untuk menyediakan akses perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, menggantikan fasiliti yang usang dan lama serta menampung keperluan mendesak dan permintaan kepada bilangan katil yang tinggi.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan dokumen Carbon Neutral Healthcare Facilities Blueprint bagi memacu KKM dalam menyediakan fasiliti kesihatan yang selamat, mesra alam sekitar, berdaya tahan dan kalis masa hadapan.
-- BERNAMA