Klinik GST bakal diperluas ke seluruh negara - Ahmad Maslan

Astro Awani
Julai 10, 2015 17:56 MYT
AHMAD: Inisiatif ini diperkenal sebagai tambahan kepada kiosk GST sedia ada. -Gambar fail
Klinik GST bakal diperkenalkan ke seluruh negara untuk memberi khidmat nasihat percuma berhubung pelaksanaan sistem cukai tersebut kepada peniaga dan orang awam.
Buat masa ini, dua klinik GST diwujudkan, masing-masing di Perak dan Melaka. Ia akan diperluas ke negeri lain selewatnya-lewatnya hujung bulan ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan memaklumkan bahawa inisiatif itu diperkenal Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebagai tambahan kepada kiosk GST sedia ada.
Ia bakal menempatkan pegawai-pegawai yang pakar di dalam bidang tersebut.
"Klinik GST ini adalah untuk kita terus memberikan khidmat nasihat percuma kepada peniaga dan kepada rakyat secara umumnya yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang GST.
"Ia juga bagi mereka yang ingin memberikan cadangan-cadangan tentang GST, yang ingin mendapat bantuan mengisi borang, misalnya penyata dan juga ingin membuat pendaftaran," kata Ahmad.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian penutup program GST bersama pelanggan dan Klinik GST di sini pada Jumaat.
#Ahmad Maslan #kastam #klinik gst #pelaksanaan sistem cukai
;