Klinik bergerak bas dua tingkat santuni asnaf luar bandar
Adie Sufian Zulkefli
Mei 19, 2020 12:00 MYT
Mei 19, 2020 12:00 MYT
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan berkolaborasi dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam usaha membantu golongan asnaf yang berada di negeri Jelapang Padi itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, usahasama itu memberi fokus kepada aspek kesihatan dan rawatan kepada golongan kurang berkemampuan.
Jelasnya, MAPIM kini mempunyai sebuah bas dua tingkat Ummah Mobile Clinic yang lengkap dengan kemudahan rawatan dan ubatan.
"Kita baru sahaja mengeluarkan double decker mobile clinic yang pertama seadanya di Malaysia dan pihak zakat juga mempunyai mobile clinic yang lebih kurang sama.
"Jadi, saya kira kita dapat tingkatkan khidmat ini untuk kita luaskan ke seluruh Kedah. Apa yang penting ialah, santuni ummah," katanya.
Menurutnya, klinik bergerak di atas bas dua tingkat itu lengkap dengan prasarana seperti empat bilik rawatan dan fasiliti perubatan.
"Juga ada khidmat sukarelawan di kalangan petugas kesihatan MAPIM yang dapat menyantuni golongan warga emas dan kanak-kanak.
"Inisiatif ini bertujuan menyediakan kemudahan kepada masyarakat luar bandar khususnya golongan asnaf yang memerlukan rawatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, kepakaran aplikasi menyimpan data yang ada pada MAPIM dapat diimplimentasi LZNK untuk merekod maklumat golongan asnaf di negeri tersebut.
Jelasnya, setiap bantuan diserahkan mempunyai kod bar tersendiri yang boleh diimbas menggunakan aplikasi telefon mudah alih bagi memastikan ia sampai ke tangan penerima.
"Ia membantu terutama sekali dalam sistem teknologi, bagaimana untuk kita mengesan asnaf, kawal asnaf dan kita pantau asnaf dengan sistem yang telah lama ada pada MAPIM," katanya.
#Ahmad Sani Abdul Alim Araby
#asbaf
#bas
#bas dua tingkat
#double decker
#klinik
#klinik bergerak
#LZNK
#MAPIM
#mobile clinic
#Syeikh Zakaria Othman
#zakat