Klinik 1Malaysia akan dinilai untuk dinaik taraf menjadi Klinik Komuniti

Isabelle Leong, Wafa Aula
Jun 27, 2018 20:56 MYT
Kementerian Kesihatan akan mengkaji semula waktu operasi selaras dengan kedatangan pesakit bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. - Astro AWANI/ ISABELLE LEONG
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menilai semula semua Klinik 1Malaysia bagi tujuan menaik taraf klinik-klinik tersebut menjadi Klinik Komuniti dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih optimum.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, penilaian akan dilakukan ke atas 346 Klinik 1Malaysia.
Antara kriteria yang akan diambil kira dalam proses menaik taraf tersebut adalah lokasi klinik, keperluan, keluasan premis (melebihi 1,400 kaki persegi dan mempunyai ruang untuk perkhidmatan Pegawai Perubatan serta farmasi) serta jumlah kunjungan pesakit.
“Kami akan menilai klinik tersebut berdasarkan kepada jumlah kunjungan pesakit ke klinik-klinik berkenaan.
“Jika klinik terbabit menerima purata 50 jumlah pesakit sehari maka operasi klinik itu akan diteruskan untuk dinaik taraf dan menambah baik menjadi Klinik Komuniti.
“Jika tidak memenuhi syarat itu, kita akan tutup klinik-klinik itu,” kata Dr Dzulkefly Ahmad ketika ditemui di sesi sidang media hari ini.
Tambah beliau, KKM akan melengkapkan Klinik Komuniti dengan pegawai perubatan di samping menempatkan pegawai farmasi atau penolong pegawai farmasi secara berfasa.
KKM akan mengkaji semula waktu operasi selaras dengan kedatangan pesakit bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
#Dr Dzulkefly Ahmad #keluasan #Kementerian Kesihatan #Keperluan #KKM #klinik #klinik 1malaysia #Klinik Komuniti #kriteria #lokasi #menteri #Menteri Kesihatan #operasi #perubatan #Premis
;