klia2 kini boleh dijadikan zoo! - Tony Fernandes
Astro Awani
Januari 8, 2019 14:11 MYT
Januari 8, 2019 14:11 MYT
Berang dengan keadaan lebah membuat sarang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkongsikan tweet agar klia2 dijadikan zoo.
Tony turut memuat naik foto sarang lebah di klia2 secara berseloroh mengatakan cadangan 'zoo' ini boleh dijadikan pendapatan tambahan untuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang boleh mengurangkan cukai lapangan terbang.
Dalam nada serius pula, Tony turut mengingatkan keadaan ini boleh memerbahayakan penumpang dan petugas di klia2.
Ini bukanlah insiden pertama seumpamanya berlaku di klia2.
Pada Disember lalu, Astro AWANI melaporkan insiden seekor tikus yang dilihat berkeliaran di ruang legar lapangan terbang berkenaan serta ulat sampah yang terdapat di sebuah tong sampah di pintu P6 bahagian penerbangan antarabangsa.
Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dalam satu respon melalui Twitter rasminya berkata, insiden berkenaan terjadi hanya di antara jam 10 dan 11 pagi. Namun, pihak MAHB akan mengambil tindakan sekiranya insiden berkenaan berulang.
Sementara itu, Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan kenyataan dari Tony yang difahamkan kini berada di luar negara.