KLIA, klia2 sedia laksana perintah larangan keluar warga Korea Utara

Bernama
Mac 7, 2017 22:46 MYT
Golongan petugas barisan hadapan di KLIA dan klia2 siap sedia melaksanakan perintah melarang warga Korea Utara daripada meninggalkan negara. - Gambar fail
Golongan petugas barisan hadapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) kini siap sedia melaksanakan perintah melarang warga Korea Utara daripada meninggalkan negara ini.
Segala urusan berjalan seperti biasa di kedua-dua lapangan terbang negara paling sibuk itu ketika pihak berkuasa termasuk Imigresen dan polis mengendali pusat dan stesen masing-masing.
Seorang anggota polis bantuan di dewan pelepasan KLIA dilihat memeriksa rapi dokumen dan butiran penerbangan penumpang sebelum membenarkan mereka menunju ke kaunter Imigresen.
"Kami akan bertindak mengikut arahan," kata beliau ketika ditanya mengenai langkah melaksanakan larangan itu.
Media melaporkan Korea Utara melarang warga Malaysia daripada meninggalkan negara itu, hingga mencetuskan tindak balas dari pihak Malaysia.
Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di klia2 pada 13 Feb.
Dilaporkan Kim Jong-nam, yang menggunakan pasport memakai nama Kim Chol, sedang menunggu penerbangannya ke Macau di klia2 pada 13 Feb bila tiba-tiba dua wanita menyapu mukanya dengan cecair yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.
-- BERNAMA
#KLIA #KLIA2 #Korea Utara
;