KLGYS 2022: Biarpun dilanda pandemik, kebolehpasaran siswazah terus meningkat - Noraini
Firdaus Azil
Jun 20, 2022 17:23 MYT
Jun 20, 2022 17:23 MYT
KUALA LUMPUR: Di sebalik impak pandemik COVID-19 yang melanda negara, kebolehpasaran siswazah terus meningkat dari 84.4 peratus untuk tahun 2020, kepada 85.5 peratus pada 2021.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, peningkatan jumlah tersebut adalah hasil inisiatif yang telah dibangun dan dilaksanakan dengan industri yang aktif di negara ini.
Antara inisiatif tersebut, jelas Ahli Parlimen Parit Sulong itu ialah, program kemahiran semula dan peningkatan kerjaya (Penjana KPT-CAP); inisiatif Kilang Pembelajaran serta penubuhan badan penyelaras industri TVET Kerajaan.
“Sidang Kemuncak Belia Dunia Kuala Lumpur (KLGYS 2022), yang turut merangkumi penyertaan industri, merupakan salah satu program yang mampu membantu merapatkan jurang antara kurikulum institusi pengajian tinggi sedia ada, dengan kehendak pasaran pekerjaan,” katanya lagi.
Noraini berkata demikian sewaktu berucap merasmikan KLGYS 2022 anjuran bersama Yayasan Juwita dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai KLGYS 2022, beliau berkata, program tersebut bertujuan menyediakan platform bagi golongan belia mendapatkan maklumat dalaman tentang pasaran kerja, melalui dialog dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa.
Katanya lagi, sambutan terhadap sidang kemuncak tersebut dilihat memberangsangkan, dengan penyertaan panel dari pelbagai negara termasuk Belgium, Hong Kong, India, Indonesia dan Zambia.
“Beberapa topik yang bakal dibincangkan, mungkin tidak disentuh dalam pembelajaran di universiti, seperti cara terbaik menangani kekuatan individu, memahami kesihatan mental, melanjutkan karier dalam dunia hiburan, menilai aset digital dan banyak lagi.
“Saya amat berharap agar semua pihak yang terlibat dengan KLGYS 2022 dapat mengambil peluang untuk berhubung dengan tenaga pakar, dan juga antara satu sama lain. Mungkin satu hari nanti anda boleh menjadi rakan usaha sesama anda,” katanya lagi.
Berucap lanjut, Noraini berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi antarabangsa
Ketika ini, tambahnya lagi, terdapat kira-kira 131,000 pelajar antarabangsa sedang melanjutkan pengajian di negara ini dan jumlah itu dijangka bertambah kepada 250,000 orang menjelang 2025.
Bagi mencapai objektif berkenaan, Noraini berkata, institusi pengajian tinggi tempatan telah mewujudkan pelbagai inisiatif termasuk menawarkan program luar negara.
“Universiti kita juga telah mencapai perjanjian melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), bagi membolehkan penyelidikan dan inovasi serta program mobiliti pelajar dan kakitangan dijalankan dengan rakan sejawat di peringkat antarabangsa.
“Tahun ini sahaja saya telah menyaksikan menandatangani MoU antara universiti tempatan dengan rakan usaha sama mereka di India, Qatar, United Kingdom, Romania dan Turki. Saya pasti, akan ada lagi yang akan datang,” katanya lagi.
Melalui penganjuran KLGYS 2022, Noraini berkata, beliau yakin panel speaker antarabangsa dapat membantu meningkatkan imej negara sebagai salah satu destinasi pilihan untuk pengajian tinggi.