KLAS Renang B40 dapat sambutan, KBS sasar lebih 5,000 peserta fasa kedua

Bernama
September 16, 2023 15:32 MYT
Hannah memantau kanak-kanak ketika menghadiri Program Klas Renang di Swim Splash Academy hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan seramai 5,760 kanak-kanak, berumur enam hingga 12 tahun, untuk menyertai program Kemahiran Latihan Asas Sukan: Renang (KLAS Renang) bagi fasa kedua mulai September hingga Disember ini.
Susulan sambutan menggalakkan pada fasa pertama, KBS dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang dibuka khusus untuk kanak-kanak daripada keluarga B40 dan dikelolakan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) itu, bakal diperluaskan ke 36 buah lokasi lagi di seluruh negara.
"Program KLAS Renang Fasa 1 yang dilancarkan pada Mei 2023 yang lalu telah mendapat reaksi positif, yang mana seramai 739 orang peserta dalam kalangan kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun, telah melengkapkan pembelajaran dan latihan dengan purata 90% penguasaan kemahiran asas berenang, terutama pembinaan keyakinan di dalam air (water confidence) dan pelbagai teknik kemahiran renang," menurut KBS.
KBS memaklumkan prapendaftaran KLAS Renang fasa kedua telah dibuka mulai 16 Ogos lepas dan ibu bapa atau penjaga kepada peserta yang berjaya akan dihubungi oleh Sekretariat JBSN bagi penyelarasan lanjut.
Kementerian pada masa sama menyatakan program tersebut masih mengekalkan kerjasama strategik bersama Allianz Malaysia Berhad dan Nestle Products Sdn Bhd dengan tambahan rakan strategik baharu Decathlon (M) Sdn Bhd dan Pos Malaysia Berhad.
Pelancaran KLAS Renang fasa kedua disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, di Pusat Kecemerlangan Akuatik, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Kuching, hari ini.
Objektif utama inisiatif tersebut adalah bagi mengurangkan kadar kematian akibat lemas menerusi pendedahan teknik asas berenang kepada kanak-kanak dalam kalangan keluarga B40.
-- BERNAMA
#KLAS Renang #KBS #fasa kedua #B40
;