KL2017: Datang awal, guna pengangkutan awam - 'Abah' KJ berpesan
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 19, 2017 14:33 MYT
Ogos 19, 2017 14:33 MYT
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menasihati orang ramai yang ingin menghadiri pembukaan rasmi temasya Sukan SEA KL 2017 malam ini untuk menggunakan pengangkutan awam.
Menerusi video berdurasi 27 saat yang dimuat naik di Facebook beliau, Khairy turut menggesa orang ramai untuk datang awal bagi mengelak kesesakan di pintu masuk.
"Ini adalah stesen LRT Bukit Jalil, kita ada laluan berbumbung dari sini hingga stadium.
"Gunakan pengangkutan awam dan datang awal kerana kita ada kawalan keselamatan yang amat ketat oleh pihak polis," katanya.
Turut kelihatan bersama beliau adalah Timbalannya Datuk M. Saravanan.
Selepas 16 tahun, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah untuk Sukan SEA bagi kali ke-6.
Pada upacara pembukaan malam ini, jalan di sekeliling stadium akan ditutup sepenuhnya daripada sebarang kenderaan kecuali pengangkutan awam.
Selain LRT, perkhidmatan Bas Khas turut disediakan di lokasi yang terpilih bagi memudahkan perjalanan orang ramai.