KL Wellness City, bandar kesejahteraan dan kesihatan pertama di Asia Tenggara

Madiha Abdullah
Jun 21, 2023 20:00 MYT
KL Wellness City akan menyediakan ekosistem bersepadu dan komprehensif merangkumi keseluruhan spektrum penjagaan kesihatan.
KUALA LUMPUR: KL Wellness City, projek perbandaran yang dibina khas untuk penjagaan kesihatan pertama di Asia Tenggara, dilancarkan secara rasminya.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM11 bilion dan keluasan meliputi 26.49 ekar, projek ini menampilkan ekosistem menyeluruh yang menggalakkan kesejahteraan dan kesihatan.
Antaranya The Nobel Healthcare Park, Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur, makmal inovasi, kemudahan R&D klinikal, menara pejabat syarikat penjagaan kesihatan, pusat peranginan persaraan, hab penjagaan kesihatan, pangsapuri servis berorientasikan kesejahteraan, Central Park berasaskan aktiviti kecergasan dan banyak lagi.
"Visi KL Wellness City adalah untuk menyediakan ekosistem bersepadu dan saling berkait yang komprehensif yang merangkumi keseluruhan spektrum penjagaan perubatan termasuk penjagaan perubatan akut, pusat kecemerlangan, juga penjagaan kesihatan, kesejahteraan, dan kecergasan.
"Semuanya dalam satu lokasi yang boleh diurus namun bersaiz besar, seluas 26.5 ekar.
"Ia akan menyediakan semua yang kami nyatakan dan perkhidmatan, kemudahan dan produk yang akan memaksimumkan potensi kesihatan semua golongan masyarakat,” kata Pengarah Urusan KL Wellness City, Datuk Dr Colin Lee, ketika ditemui pada majlis pelancaran di Bukit Jalil.
Dengan sokongan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terhadap Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur, hospital swasta baharu itu akan dibina di dalam KL Wellness City, dengan cadangan pelaburan RM860 juta.
Projek itu, yang dijangka mula beroperasi pada 2026, bakal mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan untuk tenaga profesional perubatan, termasuk pakar, ahli farmasi, juruteknik dan ramai lagi.
Malah ia turut menyediakan peluang pelaburan dan perniagaan buat pengamal perubatan dan masyarakat awam menerusi kewujudan klinik dan suite kesihatan.
"Klinik swasta boleh dimiliki doktor pakar dan terbuka juga kepada mereka yang praktis perubatan alternatif.
"Klinik-klinik ini bersama dalam satu blok, mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, bermakna doktor boleh renovate (ubah suai) dan menjalankan operasi klinik mereka dan patuh dengan syarat KKM.
"Kedudukan bersebelahan dengan hospital menjadikannya banyak kelebihan, antaranya klinik boleh dimiliki secara swasta dan mereka boleh ada 'partner' untuk menjalankan operasi di klinik.
"Suite kesejahteraan (Wellness Suite) ini seperti suite hotel tetapi berkelengkapan penuh sesuai untuk dua golongan.
"Satu, jika pesakit dari luar kawasan atau luar negara, keluarga boleh tinggal di suite ini, boleh memasak, sehari tiga atau empat kali nak ziarah pesakit pun boleh. Ini memudahkan, mereka tak perlu naik Grab.
"Selain itu jika pesakit sudah menjalani pembedahan, sebelum balik ke tempat sendiri, mereka akan tinggal beberapa hari untuk berehat dan buat 'follow up', jadi paling sesuai memilih suite ini.
"Dari aspek pelaburan, suite kesejahteraan memberi pulangan pelaburan sewa yang tinggi," ujar Pengarah Urusan KL Wellness City, Datuk Seri Vincent Tiew.
Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur yang diluluskan sebagai hospital tertiari dengan 624 katil dan boleh diskalakan kepada kapasiti 1,000 katil, akan berada pada kedudukan yang sama dengan institusi terkenal seperti di Thailand dan Singapura.
Ia juga dijangka meningkatkan tahap kehidupan sihat dan kesejahteraan, yang sejajar dengan hala tuju yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
#KL Wellness City #Asia Tenggara #bandar kesejahteraan #kesihatan
;