KL tidak pernah keluarkan lesen vape - Timbalan Menteri

Azyyati Ahmad
Disember 19, 2015 17:50 MYT
Menurut Dr Loga, ia menjadi isu apabila permohonan oleh seorang pengusaha vape telah ditolak atas sebab tiada lesen khusus untuk perniagaan tersebut dari DBKL. - Gambar hiasan
Kuala Lumpur setakat ini tidak pernah mengeluarkan lesen bagi perniagaan vape, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab desas desus mengenai pemberhentian pemberian lesen perniagaan vape oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Dr Loga, ia menjadi isu apabila permohonan oleh seorang pengusaha vape telah ditolak atas sebab tiada lesen khusus untuk perniagaan tersebut dari DBKL.
Selepas permohonan tersebut, tiada permohonan untuk perniagaan yang sama telah dibuat kepada DBKL.
“Hanya seorang pengusaha vape yang memohon lesen perniagaan vape, namun ia telah ditolak kerana kita tiada lesen untuk perniagaan tersebut di Kuala Lumpur,” kata Dr Loga.
Bagaimanapun katanya, setakat ini, Kuala Lumpur tidak merancang untuk mengikuti jejak negeri Kelantan dan Johor untuk mengharamkan perniagaan vape.
“Perkara itu perlu dibincangkan dengan Datuk Bandar.
“Saya tak pasti, tapi kita akan buat kajian dan lihat permintaan vape ini bagaimana dan dari situ keputusan akan dibuat,” kata Dr Loga ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Anti Litter di sekitar jalan-jalan utama Brickfield pada Sabtu.
BACA: DBKL tidak akan keluarkan lesen jual vape
#DBKL #Dr Loga Bala Mohan #Kuala Lumpur #lesen #vape
;