KL tersenarai dalam lonjakan 10 terbesar indeks daya huni - Kajian EIU
Astro Awani
Disember 16, 2023 23:35 MYT
Disember 16, 2023 23:35 MYT
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur tersenarai dalam kalangan 10 bandar di seluruh dunia yang merekodkan lonjakan terbesar dalam indeks daya huni global 2023.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Economist Intelligence Unit (EIU), Kuala Lumpur mencatat lonjakan sebanyak 19 anak tangga dari ranking daya huni terdahulu iaitu di tempat ke-94 di peringkat global .
Lonjakan kedudukan ini adalah berdasarkan tempoh 12 bulan yang lalu berlandaskan konsep optimisma di sebalik ketidakstabilan.
Dalam senarai itu, selain Kuala Lumpur, bandar yang mencatatkan perubahan ranking paling besar adalah Wellington (35 anak tangga), diikuti Auckland, New Zealand (25 anak tangga).
Kemudian disusuli Perth, Australia (21 anak tangga); Bucharest, Romania (21 anak tangga).
Ia kemudian diikuti bandar Hanoi, Vietnam (lonjakan 20 anak tangga); Adelaide, Australia dan Kuala Lumpur (masing-masing mencatat lonjakan 19 anak tangga).
Berdasarkan kajian ini lagi, Jakarta, Indonesia mencatatkan lonjakan positif (14 anak tangga), manakala Stuggart, Jerman dan Hong Kong (masing-masing 13 anak tangga).
Pengiraan rating ini dibuat berlandaskan lima kategori, kestabilan, sistem kesihatan, budaya dan persekitaran, pendidikan dan infrastruktur.
Markah daripada setiap kategori dipecahkan kepada beberapa sub-kategori bagi merangkumi lebih banyak indikator sebaik mungkin.
Ia kemudian diperluaskan dengan pemarkahan yang dibuat pakar, penganalisis negara dan koresponden di setiap bandar sebelum ia diseimbangkan dengan sumber luaran berkaitan sesuatu kawasan.