'KL Summit 2019 tidak akan diskriminasi, pinggir mana-mana pihak' - Dr Mahathir

Firdaus Azil
Disember 19, 2019 11:02 MYT
KL Summit 2019 dianjurkan dengan satu tujuan, mengenalpasti permasalahan serta langkah yang bersesuaian untuk diadaptasi. - fotoBERNAMA
Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019) tidak akan melakukan apa-apa diskriminasi atau meminggirkan mana-mana pihak, jelas pengerusinya yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika berucap dalam ucaptama pembukaan sidang, itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia cuba memulakan langkah perbincangan secara kecil-kecilan untuk mengenal pasti permasalahan sebenar yang membebani serta langkah bersesuaian untuk menanganinya.
“Jika idea dan penyelesaian ini diterima, dan terbukti berkesan, kami harap dapat membawanya ke platform yang lebih besar untuk dipertimbangkan,” katanya di hadapan 450 delegasi dari 56 negara yang menyertai sidang itu.

The Prime Minister says, the Muslims try to seek for revenge, only succeed in bringing disrepute into their own religion of Islam. This is #Islamophobia, unjustified fear of Islam has denigrated our religion in the eyes of the world #KLSummit2019

— Initial: FA (@FirdausAzil) December 19, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
KL Summit 2019, memasuki tahun ke-lima penganjuran, akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
BACA: Sidang Kemuncak KL 2019: Tumpuan kepada usaha tangani isu-isu ummah
Turut dijadualkan memberi ucaptama ialah Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Presiden Iran Hassan Rouhani dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani.
Berucap lanjut, Dr Mahathir berkata, umum melihat kebanyakan negara Muslim di serata dunia, hancur, manakala rakyatnya dipaksa meninggalkan negara mereka dan mendapatkan perlindungan di negara bukan Muslim.
“Ribuan mati ketika berjuang, dan lebih ramai lagi telah dinafikan permohonan mereka untuk mendapatkan perlindungan,” katanya lagi.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, ada juga orang Muslim mendalangi keganasan, membunuh mangsa yang tidak berdosa, lelaki, wanita, orang sakit serta yang tidak berkeupayaan.
“Mereka lakukan ini kerana negara mereka tidak mampu menyediakan perlindungan dan keselamatan, serta tidak mampu untuk merebut kembali tanah yang telah dirampas,” ucapnya lagi.
Dr Mahathir berkata, tindakan itu akhirnya menimbulkan ketakutan, dan seterusnya mengakibatkan apa yang dipanggil sebagai “Islamophobia”, sesuatu yang akhirnya menjadikan imej Islam tercemar di serata dunia.
Atas sebab itu, beliau berkata, KL Summit 2019 dianjurkan dengan satu tujuan, mengenalpasti permasalahan serta langkah yang bersesuaian untuk diadaptasi.
“Kita mungkin akan mendapat jawapan, jika tidak untuk menyelesaikan isu ini, sekurang-kurangnya ia mampu membuka mata dunia Islam.
“Memahami permasalahan ini mungkin boleh membuka jalan kepada kita untuk mengatasi atau mengurangkan bencana yang boleh melemahkan umat Islam,” katanya lagi.
Sekiranya langkah itu diterima, dan berjaya dilaksanakan, Dr Mahathir berkata, beliau harap dapat membawanya ke platform yang lebih besar untuk dipertimbangkan.
#dunia Islam #Islamophobia #KL Summit #KL Summit 2019 #sidang kemuncak KL 2019 #tamadun Islam #Tun Dr Mahathir Mohamad
;