KL Summit 2019: Serba Dinamik tawar penyelesaian teknologi, pacu pembangunan ummah

Harits Asyraf Hasnan
Disember 22, 2019 09:00 MYT
Datuk Dr Ir Mohd Karim Abdullah (kiri) memberi penerangan kepada Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan teknologi robot humanoid sosial, Sophia pada KL Summit 2019. - Foto Sekretariat KL Summit
Cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menjadikan negara-negara Islam perlu meningkatkan tahap keupayaan teknologi mereka dalam ekonomi global yang tidak menentu disebabkan kemajuan teknologi yang dinamik, pertikaian perdagangan dan ketidaktentuan geopolitik.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Group, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata penglibatan syarikatnya dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang melabuhkan tirai pada Sabtu, adalah satu platform pendekatan dan penyelesaian digital di peringkat global.
"Kami juga memenuhi kehendak delegasi kerana kami adalah pemain teknologi di peringkat global. Selain itu, saya juga melihat bahawa negara-negara teluk termasuk di timur tengah merupakan rantau yang menyumbang hasil jualan kepada syarikat. Ini baik dari segi perniagaan.
"Sudah pasti, kami merupakan syarikat yang percaya kepada teknologi. Kami amat serius dalam memacu dan mengaplikasi teknologi dalam segala platform forum dan itu yang mampu untuk kami sumbangkan," katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini seiring Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.
Tambahnya lagi, objektif Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang memfokuskan kepada permasalahan ummah menjadikan Serba Dinamik sebagai institusi koporat yang boleh melibatkan diri dari segi pembangunan teknologi.
"Apa yang cuba kami sampaikan adalah teknologi merupakan sesuatu yang perlu diperkenal dan dilaksanakan dalam penyelesaian permasalahan ummah.
"Dalam perkara ini, ia adalah penyelesaian teknologi bagi komuniti seluruh dunia," jelasnya.
Serba Dinamik yang turut membuka ruang pameran seiring sidang kemuncak empat hari itu turut dilawati oleh Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Penglibatan Serba Dinamik dalam sidang kemuncak itu seiring salah satu kluster yang memfokuskan kepada cabaran teknologi dan IR4.0 dalam kalangan umat Islam.
#cabaran digital #Datuk Dr Ir Mohd Karim Abdullah #IR4 0 #KL Summit 2019 #pembangunan ummah #Serba Dinamik #Sidang Kemuncak Kuala Lumpur #teknologi #teknologi digital
;