KL Summit 2019 pentas cari solusi tangani Islamophobia - Dr Mahathir
Firdaus Azil
Disember 19, 2019 13:08 MYT
Disember 19, 2019 13:08 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan delegasi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit 2019), mengenai bahayanya peningkatan persepsi ketakutan terhadap Islam, atau Islamophobia, serta keperluan untuk mengatasinya.
Dalam ucaptamanya, beliau berkata, Islamophobia itu satu trend (yang sedang memuncak) dan ianya lahir dari sikap keganasan sesetengah penganut Islam sendiri, kononnya atas nama “jihad”, yang akhirnya digunakan oleh musuh Islam untuk menimbulkan kebencian ke atas agama itu.
“Ramai di antara mereka (penganut Islam) bersedia untuk mati dalam usaha memperjuangkan Islam dan Ummah. Tetapi apa yang dilakukan hanyalah menimbulkan lebih banyak kerosakan melalui tindakan keganasan kita.
“Kita dakwa kita melakukan jihad, tetapi keputusannya lebih ke arah penindasan terhadap kaum Muslim di serata dunia. Kita diusir dari negara kita, permohonan pelindungan kita ditolak, kita ditindas dan dilaknat. Kita sendiri menimbulkan ketakutan hingga akhirnya Islamophobia itu wujud,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, mudah untuk mendakwa Islamophobia itu dilakukan oleh sesetengah mazhab, tetapi katanya lagi, bagi musuh di luar sana, semua penganut Islam adalah sama sahaja.
Atas sebab itu, Dr Mahathir berkata, persidangan ini telah mengumpulkan pemimpin, golongan pemikir serta ilmuan hanya dari beberapa negara Islam sahaja, supaya ia tidak menjadi tak terkawal, sehingga perbezaan pendapat itu akhirnya mengakibatkan penyelesaian tidak terlaksana.
“Kami berharap, sidang ini dapat memulakan perbincangan untuk mencapai beberapa program dan sasaran yang spesifik, agar jumlah negara yang kecil yang terbabit dapat memulakan langkah perlaksanaan dengan segera,” katanya lagi.
#Islam
#Islamophobia
#jihad
#keganasan
#ketamadunan Islam
#KL Summit
#KL Summit 2019
#Mahathir Mohamad
#negara Islam
#sidang kemuncak KL 2019