KL Summit 2019: 'Adakah siaran anda ke peringkat antarabangsa?' - Tanya Tun Mahathir kepada Astro AWANI
Firdaus Azil
Disember 20, 2019 20:28 MYT
Disember 20, 2019 20:28 MYT
Dalam kesibukan beliau mempengerusikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019), Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut berkesempatan melihat operasi media, termasuk bilik yang dikhaskan untuk Astro AWANI, petang tadi.
Kehadiran beliau disambut editor, Dzulfitri Yusop dan wartawan kanan Harits Asyraf Hasnan, beserta kru yang lain.
Dalam sesi yang singkat itu, kedua-dua wakil berkenaan sempat menjelaskan mengenai operasi pemberitaan Astro AWANI dalam usaha menyampaikan liputan komprehensif sepanjang sidang berlangsung melalui platform TV, laman web serta akaun sosial media rasmi.
Dr Mahathir sempat bertanya sekiranya laporan TV Astro AWANI disiarkan ke serata dunia.
Menjawab persoalan itu, Dzulfitri berkata, walaupun laporan di saluran 501 AWANI hanya terhad di negara ini, namun capaian digital menerusi laman sosial stesen berita nombor satu negara itu boleh diakses di mana-mana sahaja.
Dalam pada itu Bernama melaporkan Perdana Menteri berpuas hati dengan laporan oleh agensi berita tempatan dan luar negara sejak hari pertama persidangan itu berlangsung.
"Saya dimaklumkan bahawa 800 wartawan berada di sini...ini adalah salah satu perhimpunan kumpulan wartawan tempatan dan asing terbesar membuat liputan acara tempatan ini. Saya yakin prosiding persidangan ini tersedia untuk semua yang mahu mengikutinya," katanya, dipetik sebagai berkata.
#Astro Awani
#astroawani com
#KL Summit
#KL Summit 2019
#Kuala Lumpur
#laman sosial
#laporan berita
#Mahathir Mohamad
#Media
#Perdana Menteri
#wartawan