KL Sentral bakal dibangunkan semula, kos cecah RM1 bilion - Loke
Madiha Abdullah
Ogos 2, 2023 17:30 MYT
Ogos 2, 2023 17:30 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan jemaah menteri sudah memberikan kelulusan secara prinsip berhubung projek pembangunan semula stesen Sentral Kuala Lumpur atau KL Sentral.
Pembangunan semula itu akan melibatkan kos kira-kira RM1 bilion dan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) selaku pemaju asal dan pengendali KL Sentral.
Projek pembangunan semula itu akan memfokuskan kepada penambahan kapasiti, selain mempertingkatkan aspek keselamatan di sekitar hab pengangkutan utama ibu negara itu yang menerima kira-kira 200,000 pengguna setiap hari.
"Kapasiti KL Sentral sudah tidak mencukupi, maka kena ada pembangunan semula. Pembangunan semula ini juga akan ambil kira aspek keselamatan yang lebih canggih.
"Sekarang stesen ini guna CCTV analog, kita mahu guna CCTV lebih canggih seperti AI untuk lihat pergerakan manusia, yang juga penting untuk aspek keselamatan negara.
"Pembangunan semula ini akan mengambil perbelanjaan besar lebih RM1 bilion, jadi kerajaan bersetuju ia dilaksanakan secara penswastaan di mana pihak swasta melabur tertakluk kepada permintaan kerajaan dari pelbagai kementerian," kata Loke dalam sidang media pada Rabu.
Bagaimanapun, perincian lanjut hanya akan diperoleh selepas perbincangan antara MRCB dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
Kementerian Pengangkutan memberikan tempoh dua tahun bagi kedua-dua pihak melakukan perbincangan namun berharap ia dapat dimuktamadkan lebih awal supaya projek pembangunan semula itu dapat dipercepatkan.
Stesen itu juga akan tetap beroperasi semasa tempoh pembangunan semula dan tidak akan ada sebarang pemindahan operasi sepanjang tempoh itu.