KL PodFest 2024 dijangka dimeriahkan 3,500 pengunjung

Bernama
Februari 2, 2024 23:53 MYT
Khairy berkata pesta itu, akan menampilkan lebih 30 persembahan langsung audio siar termasuk dari Singapura. - Gambar KLPodFest.com
PETALING JAYA: Penganjuran KL PodFest 2024 selama dua hari bermula esok di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJ PAC), dijangka akan dimeriahkan oleh 3,500 pengunjung.
Ketua kurator yang juga penyampai audio siar (podcaster) Keluar Sekejap Khairy Jamaluddin berkata pesta itu, akan menampilkan lebih 30 persembahan langsung audio siar termasuk dari Singapura.
"Podcast dah jadi medium yang semakin popular sekarang, terutama untuk orang muda yang mahu mendapatkan maklumat dan isu semasa.
"Kita nak membina komuniti podcast yang masih baru, kita mahu sama-sama membantu mengembangkan industri ini, menjadikannya sebagai bidang lebih profesional dan membuka peluang komersial," katanya pada sidang media hari ini.
Khairy berkata pesta itu juga akan menjadi platform untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan mereka yang mahu menceburi bidang tersebut, selain memperkenalkannya kepada orang ramai secara lebih mendalam lagi.
Antara audio siar yang menyertai pesta itu ialah Tiber, Malam Seram, Financial Faiz, OKLETSGO, Mr Money TV, SneakerLAH, Mamak Sessions by Jinnyboy, The Amin Idris Show, TTYL, Head Over Heels by Maggy Wang, Balls Deep by The Takeaway, Table Talk by The Takeaway dan Ajar.
Sementara itu, Khairy berkata tiket pesta KL PodFest 2024 untuk tempat duduk di tayangan utama audio siar berkenaan yang mula dijual pada 1 Dis lepas dengan harga RM30 untuk pas sehari, RM50 (hujung minggu) dan RM60 (pas khas), telah habis dijual.
-- BERNAMA
#KL PodFest 2024 #isu semasa #peluang komersial #orang muda
;