KL ke-46 terbaik dunia bagi keselamatan kewangan, pengurusan pewarisan - Veolar
Bernama
April 28, 2022 04:44 MYT
April 28, 2022 04:44 MYT
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur berada di kedudukan bandar raya ke-46 terbaik dunia dari segi keselamatan kewangan dan pengurusan legasi atau pewarisan, demikian menurut hasil kaji selidik oleh Veolar.eu yang juga peneraju global bagi pengeluaran dan pengedaran antioksidan.
Dalam satu kenyataan semalam, syarikat itu berkata kaji selidik yang bertujuan mengenal pasti bandar raya terbaik dunia bagi tujuan persaraan menunjukkan Dubai, Emiriah Arab Bersatu sebagai lokasi terbaik dan diikuti oleh Singapura dan Wellington, New Zealand.
Usaha menerusi kerjasama dengan Magmatic Research, turut menunjukkan bahawa pesara Tokyo menikmati tahap kehidupan terbaik dan diikuti oleh Singapura dan Wellington.
"Sejajar dengan peningkatan ketara inflasi dan ketidakstabilan global, kaji selidik tersebut menunjukkan bandar raya terbaik untuk pesara dengan menganalisis kebolehhidupan bagi peringkat usia lanjut, keselamatan kewangan, penjagaan kesihatan dan pengurusan kekayaan.
"Keputusannya menunjukkan pesara tempatan menikmati kualiti kehidupan terbaik serta bandar terbaik bagi tujuan pengurusan pewarisan," katanya.
Menurut kaji selidik itu, bandar raya Oslo, Norway, adalah yang terbaik di dunia bagi keselamatan kewangan, satu ukuran kestabilan ekonomi dan persekitaran fiskal bagi pesara di setiap bandar dengan Lisbon dan Porto di Portugal di tempat kedua dan ketiga.
"Pesara berdepan insiden konflik dan ketidakstabilan politik yang rendah di Wellington manakala Singapura dan Auckland, New Zealand pula di kedudukan kedua dan ketiga bagi aspek itu," katanya.
-- BERNAMA