KL dilanda banjir kilat lagi
Afiezy Azaman
September 10, 2020 18:46 MYT
September 10, 2020 18:46 MYT
Lembah Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama dua jam pada sebelah petang, Khamis.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi terdapat lima kawasan utama dinaiki air antara 1 dan 1.5 meter.
"Lima kawasan tersebut merupakan Lebuh Ampang (1.5 meter), Jalan Raja Alang, Kampung Baru (1 meter) dan Jalan Gurney Kiri Off Jalan Semarak (1 meter), manakala berlaku limpahan air di Lorong Ayer Leleh dan Jalan San Ah Wing.
"Terdapat beberapa buah kenderaan ditenggelami air namun tiada mangsa yang terlibat dalam banjir tersebut," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Selain itu, pusat pemindahan banjir turut dibuka di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.
Mengulas lanjut, Nordin berkata seramai lebih 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak, BBP Keramat dan BBP Setapak digerakkan ke lokasi banjir untuk proses pemantauan.
“Sehingga kini operasi pemantauan masih dijalankan di lokasi banjir bagi memastikan keselamatan orang awam yang melalui jalan tersebut,” katanya.
Manakala di Selangor, Jalan Gombak Setia sehingga Batu Caves dinaiki air semasa hujan lebat.
Menurut kenyataan JBPM Selangor, seramai tujuh anggota dari BBP Selayang digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kejadian hanya melibatkan banjir sahaja dan ketika jentera dan anggota sampai ditempat kejadian, paras air telah surut," jelasnya.
Setakat ini, beberapa kawasan di Lembah Klang masih mengalami hujan lebat.
#banjir
#BBP Selayang
#Gombak Setia
#Jalan Gurney Kiri Off
#Jalan Raja Alang
#Jalan Semarak
#JBPM
#Kampung Baru
#Lembah Klang