KKR sahkan tiada keretakan di jejambat SPE

Umavathi Ramayah
Jun 8, 2024 09:40 MYT
Gambar tular menimbulkan persoalan kemungkinan berlaku keretakan di persimpangan bertingkat lebuh raya SPE. - Gambar/ X Abdul Rahman A Samad
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan tiada sebarang keretakan berlaku di jejambat Lebuhraya Setiawangsa - Pantai (SPE) di Jalan Cheras, di sini seperti yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Ringkasan AI
  • Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan tiada keretakan di jejambat SPE di Jalan Cheras seperti yang dikatakan di media sosial.
  • KKK menjelaskan kesan hitam itu bukan keretakan tetapi kesan pembinaan terdahulu.
  • Pemeriksaan menunjukkan struktur portal lebuh raya selamat dan tiada kerosakan. Lebuh raya tersebut menghubungkan beberapa lebuh raya utama di Kuala Lumpur.

Sebaliknya KKR menjelaskan, kesan hitam yang kelihatan seperti retak itu ialah kesan sambungan sendi atau struktur pembinaan.
"Pemeriksaan segera yang dilakukan syarikat konsesi SPE, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat perunding EDP pada jam 11.30 malam tadi (Jumaat) mendapati tiada sebarang keretakan," katanya dalam platform X di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, KKR memberitahu, berdasarkan pemeriksaan, pihak perunding turut mengesahkan struktur portal lebuh raya tidak terjejas dan selamat kepada pengguna jalan raya.

Hasil pemeriksaan segera di tapak jam 11.30 malam tadi oleh LLM, SPE dan consultan EDP telah mengesahkan tiada keretakan pada crosshead, ia hanya kesan garisan hitam iaitu construction joint semasa kerja concreting dahulu. https://t.co/LQelcSaRMx

— Kementerian Kerja Raya Malaysia (@moworksmy) June 8, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata mengarahkan LLM dan SPE membuat pemeriksaan dan penilaian di kawasan berkenaan yang didakwa retak.
SPE dibuka sepenuhnya pada 3 November lalu, mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.
Lebuh raya itu dibahagikan kepada empat seksyen utama, iaitu Kerinchi-Salak (Seksyen 1), Salak-Pandan (Seksyen 2), Pandan-Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa-Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 kilometer.
Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.
#jambatan retak #Kementerian Kerja Raya #video tular #Alexander Nanta Linggi