KKR pantau penggunaan RFID, kaji amalan terbaik penggunaan MLFF

Firdaus Azil
November 6, 2023 12:49 MYT
Abdul Rahman berkata, Kerajaan sedang masih dalam proses kajian mengenai MLFF, dan menjangkakan ujian percubaan pada 2024 untuk melihat kesesuaian kaedah tersebut. - Sumber foto JPM
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memantau prestasi lorong tol yang menggunakan sistem kutipan tol dengan teknologi RFID di semua lebuh raya, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri KKR, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, selaras dengan hasrat Kerajaan dalam pelaksanaan Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebagai usaha dalam menambah baik sistem kutipan tol, teknologi RFID ini telah diterima sebagai teknologi yang akan digunakan dalam pelaksanaan MLFF.
Dengan pelaksanaan MLFF kelak, beliau berkata, pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol sekali gus meningkatkan kelancaran perjalanan pengguna di lebuh raya melalui transaksi pembayaran tol yang cepat dan efisien.
“Setakat ini, terdapat 416 lorong RFID di seluru Malaysia, dan jumlahnya meliputi yang kita nyatakan tadi ada yang lebih dan ada yang kurang. Sebenarnya apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat sebentar tadi, sebab itu itu kita nak melaksanakan MLFF.
“Dalam MLFF ini kita letakkan juga RFID, bermakna kita akan menggunakan Radio Frequency Identification, dan juga kita akan gunakan bersama Automatic Plate Number Recognition (APNR) supaya ia akan lebih laju, kita boleh mengesan nombor plat kereta dan sekali dengan pengguna tersebut. Jadi peningkatan ini, mungkin seperti yang saya nyatakan tadi ia lebih cepat dan efisyen,” tambahnya.
Terdahulu, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN – Alor Setar) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah hala tuju Kerajaan Persekutuan terhadap sistem RFID di semua lebuh raya, dan apakah usaha untuk menambah baik sistem kutipan tol untuk kelancaran pengguna lebuh raya.
Selain itu, beliau juga ingin mengetahui sekiranya Kerajaan ingin melaksanakan tol tanpa plaza tol, seperti yang digunapakai di luar negara.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Kerajaan sedang masih dalam proses kajian mengenai MLFF dan menjangkakan ujian percubaan pada 2024 untuk melihat kesesuaian kaedah tersebut.
#Dewan Rakyat #RFID #MLFF #Multi Lane Fast Flow
;