KKR mohon MOF tambah peruntukan pembangunan produk inovasi
Bernama
Julai 23, 2024 23:15 MYT
Julai 23, 2024 23:15 MYT
ALOR GAJAH: Kementerian Kerja Raya (KKR) memohon agar Kementerian Kewangan (MOF) menambah peruntukan bagi pembangunan produk inovasi termasuk mempatenkan produk dicipta Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ringkasan AI
- Kementerian Kerja Raya (KKR) memohon tambahan peruntukan dari Kementerian Kewangan (MOF) untuk mempatenkan produk inovasi JKR kerana kos yang tinggi, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
- Dalam tempoh tiga tahun bermula 2022, lebih 100 produk inovasi dihasilkan oleh JKR tetapi hanya empat berjaya dipatenkan.
- Kekurangan peruntukan menyebabkan produk inovasi JKR seperti 'cold mix bitumen' ditiru tanpa JKR mendapat royalti.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tambahan peruntukan berkenaan amat diperlukan kerana kos mempatenkan sesuatu produk inovasi memerlukan perbelanjaan tinggi dan tidak termasuk kos penghasilannya.
Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun bermula 2022, lebih 100 produk inovasi JKR dihasilkan menerusi Konvensyen KIK dan hanya empat sahaja produk berkenaan berjaya dipatenkan.
"Sebagai contoh, sebelum ini JKR ada menghasilkan produk inovasi 'cold mix bitumen' untuk menampal lubang di jalan raya tetapi disebabkan kita kurang peruntukan untuk mempatenkan produk itu, ia ditiru dan berada di pasaran tetapi JKR tidak boleh memohon royalti hasil ciptaan itu.
"Jadi, saya kira peruntukan bagi produk inovasi di bawah kementerian termasuk KKR perlu dilihat semula oleh MOF terutama kos bagi mempatenkan produk tersebut kerana sekarang ini peruntukan berkenaan bergantung kepada permohonan mengikut jumlah produk berjaya dihasilkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen KIK JKR 2024 bertemakan 'Inovasi Pemangkin Generasi Kreatif' yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) sini hari ini.
Terdahulu, beliau berkata 54 produk inovasi dihasilkan oleh 54 kumpulan melibatkan 479 peserta daripada JKR seluruh negara dan majoriti produk inovasi dipertandingkan menghasilkan solusi teknikal bagi masalah dihadapi industri pembinaan, komuniti dan alam sekitar.
Ahmad Maslan berkata produk inovasi berkenaan juga berpotensi dikomersialkan atau diadaptasi di peringkat JKR, agensi kerajaan atau swasta.
"Kita ingin menjadikan JKR sebagai agensi teknikal berinovatif yang menghasilkan banyak produk inovasi pada masa hadapan sekali gus menguasai teknologi terkini demi pembangunan negara," katanya.
-- BERNAMA