KKR laksana 297 projek secara BIM, IBS seluruh negara - Nanta

Bernama
Jun 26, 2023 12:23 MYT
Nanta (tiga, kiri) meninjau jejambat dari arah Kota Bharu merentangi Bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor selepas pembukaan jejambat tersebut hari ini. Turut sama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (dua, kanan). - Foto BERNAMA
TUMPAT: Sebanyak 297 projek menggunakan kaedah Building Information Modelling (BIM) dan Industrial Building System (IBS) sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) di seluruh negara setakat ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kaedah penggunaan BIM dan IBS dalam projek jalan dan bangunan mampu meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan kerana dapat menyeragamkan reka bentuk dan mempercepat tempoh pembinaan.
"Penggunaan BIM dan IBS dapat membantu dalam mengesan lebih awal isu percanggahan antara reka bentuk dengan pembinaan yang mungkin berlaku dengan bantuan model tiga dimensi reka bentuk jalan atau jambatan tersebut.
"Dalam erti kata lain, projek akan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dengan kurangnya isu percanggahan reka bentuk yang boleh melewatkan pelaksanaan projek sekiranya berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian pembinaan jejambat (Flyover) dari arah Kota Bharu merentangi Bulatan Wakaf Bharu Ke Pengkalan Kubor di Wakaf Bharu, di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Mengulas lanjut, Nanta berkata cadangan menggunakan BIM dan IBS secara maksimum dalam sektor pembinaan adalah satu strategi berimpak tinggi yang mampu mengurangkan kebergantungan sektor pembinaan kepada pekerja asing melalui pengukuhan kompetensi dan adaptasi teknologi.
"Kejayaan ini akan dapat dicapai dengan kerjasama strategik bersama kementerian dan agensi yang relevan dengan adaptasi teknologi sektor pembinaan sedia ada sebanyak 85.3 peratus bagi projek awam dan 81 peratus bagi projek swasta.
"Saya yakin inisiatif untuk mencapai tahap adaptasi teknologi menggunakan IBS dan BIM kepada 100 peratus akan tercapai dengan sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak," katanya.
Mengulas lanjut mengenai projek rintis pertama BIM yang berjaya disiapkan iaitu pembinaan jejambat dari arah Kota Bharu ke Pengkalan Kubor di Wakaf Bharu, beliau berkata projek itu bertujuan menyuraikan trafik terutamanya di sekitar bulatan Wakaf Bharu yang mengalami kesesakan lalu lintas pada waktu puncak dan musim perayaan.
"Projek ini mula dibina pada 19 Feb 2018 dengan melibatkan skop seperti membina jejambat jalan berkembar empat lorong melintasi bulatan Wakaf Bharu (Kota Bharu-Pengkalan Kubor) sepanjang 470 meter," katanya.
-- BERNAMA
#Alexander Nanta Linggi #Kementerian Kerja Raya #prijek IBM ILS #Tumpat
;