KKR kenal pasti 1,577 cerun berisiko sangat tinggi di seluruh negara

Bernama
November 5, 2024 15:30 MYT
JKR melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun memberi amaran awal berdasarkan data hujan dan pergerakan cerun dari Sistem Amaran Awal di kawasan berisiko tinggi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,577 cerun di sepanjang Jalan Persekutuan di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai berisiko sangat tinggi, kata Kementerian Kerja Raya (KKR).
Jumlah itu adalah daripada keseluruhan 34,714 cerun yang dipantau menerusi Peta Bahaya dan Risiko Cerun yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya (JKR) meliputi 26,722 cerun di Semenanjung, selain Sabah (4,178), Sarawak (3,633) dan Labuan (181).
Dalam kenyataan kepada Bernama, KKR menjelaskan bahawa dalam situasi bencana melibatkan cerun di Malaysia, kementerian melalui JKR berperanan menyediakan nasihat teknikal kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selain bertanggungjawab menyediakan jentera, perkhidmatan teknikal dan menilai kerosakan infrastruktur awam selain bertindak melaksanakan langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko bencana cerun.
"Sekiranya berlaku bencana melibatkan lintasan air atau cerun runtuh, JKR akan melaksanakan beberapa langkah antaranya mengurus penutupan jalan, memberi amaran, menyediakan laluan alternatif serta membina lencongan dan membaiki jalan yang terjejas."
Selain itu, JKR melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun memberi amaran awal berdasarkan data hujan dan pergerakan cerun dari Sistem Amaran Awal di kawasan berisiko tinggi," kata kenyataan itu.
KKR turut memaklumkan terdapat 49 stesen tolok hujan di seluruh negara, iaitu 37 di Semenanjung, sembilan di Sabah dan tiga di Sarawak yang akan merekodkan data hujan dan mengeluarkan amaran awal apabila bacaan mencapai nilai ambang bagi lokasi berisiko.
"Selain itu, tiga Robotic Total Station (RTS) dan sebuah Global Navigation Satellite System (GNSS) telah dipasang di Seksyen 44 dan 46, Laluan FT185 Jalan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang bagi memantau pergerakan permukaan cerun di lokasi berkenaan," menurut kenyataan itu.
Sehingga September 2024, sebanyak RM104.84 juta telah dibelanjakan bagi kerja-kerja pembaikan cerun melibatkan 147 lokasi di sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia.
KKR menyatakan bagi 2025, kementerian akan menerima peruntukan sebanyak RM118 juta yang akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun dan pembaikan pencegahan cerun.
"Pada masa yang sama, kerja penyelenggaraan rutin turut dilaksanakan bagi cerun berkategori very high dan high risk di zon Pantai Timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebahagian negeri Perak.
Selain itu, pemasangan dan penyelenggaraan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (SAATR) serta naik taraf Sistem Pengurusan Cerun Bersepadu (ISMAS) turut dilaksanakan," mengikut kenyataan itu lagi.
Dalam menangani dan memantau lokasi cerun pada masa hadapan, JKR telah mengambil langkah menggunakan kaedah seperti pemantauan masa nyata secara setempat yang membolehkan pengesanan awal perubahan dalam kestabilan cerun dan membolehkan tindakan segera diambil jika ada tanda-tanda kegagalan cerun.
"Penggunaan teknologi seperti tilt sensor, soil moisture, inclinometer dan piezometer di lokasi cerun berisiko akan membolehkan data tepat dikumpul dan langkah pencegahan dibuat dengan tepat bagi mengurangkan kejadian tanah runtuh di kawasan yang berisiko," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#KKR #Cerun berisiko #tanah runtuh #Alexander Nanta Linggi
;