KKR, CIDB zahir hasrat hantar pekerja ke Nagasaki teroka kemahiran TVET
Bernama
April 27, 2024 12:00 MYT
April 27, 2024 12:00 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi agensinya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berhasrat memulakan penghantaran pekerja ke Nagasaki, Jepun menjelang suku keempat tahun ini sebagai kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sasaran awal penghantaran pekerja itu melibatkan lima hingga 10 individu setiap kumpulan bergantung kepada permintaan.
Dalam kenyataan hari ini, beliau memaklumkan usaha ke arah kerjasama itu sedang giat dilaksanakan bersama institusi dan agensi berkaitan di Nagasaki dan program itu akan dimuktamadkan dalam Memorandum Kerjasama (MOC) dijangka ditandatangani tahun ini.
"Melalui kerjasama ini, CIDB bersama agensi serta institusi pendidikan kemahiran di Nagasaki akan bekerjasama dalam pertukaran kepakaran teknikal serta latihan membabitkan kedua-dua pihak terutama dalam sektor pembinaan dan perkapalan," katanya.
Pertukaran teknologi juga akan diperkemaskan menerusi kerjasama tersebut yang antara lain memfokuskan penggunaan teknologi moden dalam kerja kimpalan dan pengendalian jentera berat.
Alexander yang kini dalam lawatan kerja ke Nagasaki berkata beliau bersama delegasi KKR, CIDB, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut berkesempatan bertemu Gabenor Wilayah Nagasaki Dr Oishi Kengo.
Pertemuan itu adalah susulan lawatan kerja CIDB ke Jepun tahun lepas, yang bertujuan meneroka peluang menghantar pelatih TVET ke Nagasaki untuk mendalami ilmu berkaitan, bertepatan dengan komitmen Kerajaan MADANI kepada pembangunan belia dan pertukaran pengetahuan.
"Dalam perbincangan bersama Dr Oishi semalam, kami bersetuju bahawa banyak limpahan manfaat dapat dihasilkan melalui kerjasama ini terutamanya dalam membantu menyediakan latihan vokasional untuk pekerja berkemahiran serta mengembangkan lagi pembangunan tenaga kerja.
"Ia juga akan menjadi satu usaha perkongsian kemahiran dan teknologi yang bermakna bagi kedua-dua negara serta merapatkan hubungan dua hala Malaysia-Jepun, seterusnya memberi faedah kepada ekonomi masing-masing dan menyumbang kepada kemajuan global bidang TVET," katanya.
Alexander turut menzahirkan komitmen KKR menerusi CIDB untuk memperkasa TVET terutama membabitkan generasi muda, selaras dengan peranan CIDB yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk membangunkan industri pembinaan seterusnya melahirkan pekerja binaan yang kompeten dan berkualiti.
-- BERNAMA