KKR belum berhasrat jadikan vaksin COVID-19 sebagai syarat pengambilan pekerja asing

Bernama
Februari 25, 2021 04:38 MYT
Eddin (kanan) bersama seorang penerima projek Baiti Jannati TNB (tengah) di Kampung Ghalib, Sungai Jelutung, Batu Kikir, Kuala Pilah, 25 Feb, 2021. Turut hadir, Ketua Peruncitan TNB Negeri Mahamad Farizan Mahamad (kiri). --fotoBERNAMA
KUALA PILAH: Kementerian Kerja Raya belum berhasrat menjadikan suntikan vaksin COVID-19 sebagai syarat wajib pengambilan pekerja asing khususnya dalam sektor pembinaan sekiranya pengambilan yang dibekukan sebelum ini dibuka semula.
Timbalan Menterinya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata fokus kerajaan ketika ini adalah terhadap proses pemberian vaksin secara percuma kepada rakyat dan warga asing dalam usaha memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19.
"Kita tidak boleh terlampau keras dari segi sektor pembinaan ini sebab kita tahu antara usaha untuk kita membangunkan ekonomi juga adalah melalui sektor pembinaan kerana ia akan memberikan kesan pengganda yang sangat besar kepada negara.
"Kalau kita tetapkan syarat kena ada vaksin dan sebagainya, kita bimbang kemajuan dalam sektor pembinaan akan terjejas akibat syarat yang terlalu ketat itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan rumah Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad di sini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada kementerian bercadang menjadikan suntikan vaksin COVID-19 sebagai syarat pengambilan pekerja asing.
Pada 30 Julai tahun lepas, Kementerian Sumber Manusia mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja asing susulan penularan COVID-19 serta impaknya terhadap pasaran pekerjaan membabitkan tenaga kerja tempatan.
Bagaimanapun, kementerian itu menjelaskan permohonan untuk membenarkan majikan terutama daripada sektor yang berkeperluan tinggi terhadap pekerja asing seperti pembinaan, perladangan dan pertanian akan dipertimbang apabila tempoh pembekuan berakhir.
-- BERNAMA
#KKR #pekerja asing #Eddin Syazlee Shith #sektor pembinaan #Kementerian Kerja Raya #syarat wajib #suntikan #vaksin #COVID-19 #warga asing #ekonomi #kerajaan #TNB #rakyat #pandemik #pembekuan #majikan
;