KKMM tubuh jawatankuasa siasatan kes ciapan tidak senonoh di Twitter SKMM
Bernama
Januari 14, 2021 23:47 MYT
Januari 14, 2021 23:47 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Kes Ciapan Tidak Senonoh Tahun 2014 di akaun rasmi Twitter, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital),Tan Chuan Ou serta empat orang ahli.
"Jawatankuasa ini akan menjalankan siasatan dengan terperinci bermula esok mengenai isu ciapan tidak senonoh akaun Twitter MCMC (SKMM) tersebut bagi mengenal pasti punca melalui penelitian dokumen, peraturan, kaedah pengendalian dan pihak-pihak yang terlibat serta kemungkinan wujudnya unsur-unsur penyalahgunaan atau penyelewengan.
"Jawatankuasa ini juga akan mengesyorkan tindakan yang bersesuaian, antaranya tindakan tatatertib, surcaj, membuat laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau tindakan sivil di mahkamah terhadap pihak yang terlibat sekiranya wujud kecuaian atau salah laku dalam isu ini,'' katanya dalam kenyataan di sini..
Beliau berkata siasatan akan dilaksanakan secara telus dan laporan hasil siasatan akan dikemukakan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, langkah penambahbaikan juga akan dicadangkan bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang di masa hadapan.
-- BERNAMA
#KKMM
#SKMM
#MCMC
#Twitter
#ciapan tidak senonoh
#siasatan
#Jawatankuasa Siasatan
#Ketua Setiausaha
#Mohammad Mentek