KKMM pergiat sesi penerangan imunisasi COVID-19
Bernama
Mac 22, 2021 21:03 MYT
Mac 22, 2021 21:03 MYT
KUANTAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mempergiatkan sesi penerangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara turun padang khususnya di luar bandar bagi memastikan tiada yang ketinggalan menerima vaksin tersebut.
Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia boleh dilakukan oleh Jabatan Penerangan (Japen) menerusi unit bergeraknya, Info on Wheels (IOW), selain KKMM juga bersedia membantu jika diperlukan bagi proses pendaftaran vaksin secara manual terutamanya di kawasan tiada capaian internet.
"Kami akan memperbanyakkan program turun padang dalam hal ini. Bagaimanapun, kami juga minta supaya orang ramai tidak leka untuk mendaftar sebagai penerima vaksin dan tidak bersikap menunggu sehingga saat-saat akhir untuk mendaftar.
"Kita juga perlu memperingatkan ibu bapa, jiran atau masyarakat sekeliling tentang keperluan menerima vaksin kerana program ini tidak boleh gagal. Kita harus pastikan pemberian vaksin menepati sasaran," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Malaysia Prihatin di Kompleks Dagangan Mahkota di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang Zahari Ismail, Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM) Pahang Datuk Zulfikri Hashim dan Pengarah Japen Pahang Mohd Salmun Mustafa.
KKMM juga menurut Saifuddin, mengambil maklum tentang keperluan meningkatkan komunikasi berkaitan program imunisasi yang diutarakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, kerana terdapat kawasan di luar bandar dikatakan tidak tahu tentang pelaksanaan program tersebut.
Sementara itu, Saifuddin mengesyorkan supaya amalan berpolitik pada masa kini dilakukan dengan menggunakan komunikasi yang sesuai demi kepentingan serta kemaslahatan ummah dan bukannya dengan cara membuka aib, mengutuk atau memaki hamun mereka yang berbeza pendapat.
"Kalau kita hendak mengkritik, itu adalah amalan biasa dalam politik. Namun mengkritik bukan bermaksud kita boleh mengutuk. Ada perbezaannya di situ dan bagaimana ia boleh dilakukan adalah bergantung kepada kebijaksanaan masing-masing.
"Tetapi tentu lebih baik sekiranya kita menyampaikan pandangan atau pendapat politik yang menjurus kepada kestabilan, penyatuan dan keharmonian, jelas serta tidak mengelirukan atau menggusarkan kerana suasana menuntut kita berbuat demikian memandangkan kita sedang berperang dengan pandemik," katanya.
Saifuddin juga berharap supaya mana-mana pihak yang ingin berhujah tidak terlalu mudah menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam hujahan mereka kerana kita perlu menghormati kedudukan Seri Paduka selaku Ketua Negara.
-- BERNAMA
#KKMM
#sesi penerangan
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#PICK
#Saifuddin Abdullah
#Info On Wheels
#Jabatan Penerangan
#vaksin