KKMM lipat ganda usaha bantu salur maklumat pendaftaran vaksin

Bernama
Mei 27, 2021 04:40 MYT
Saifuddin berkata pihaknya juga menumpukan kepada beberapa golongan seperti warga emas dan OKU yang dilaporkan kurang mahir dengan kaedah pendaftaran secara dalam talian. - Foto Facebook/Saifuddin Abdullah
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang melipatgandakan usaha menyalurkan maklumat mengenai pendaftaran suntikan vaksin terutama di kawasan luar bandar.
Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata pihaknya juga menumpukan kepada beberapa golongan seperti warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan kurang mahir dengan kaedah pendaftaran secara dalam talian.
"Berdasarkan analisis oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), didapati pendaftaran suntikan vaksin masih rendah, terutamanya di kawasan pantai timur dan dalam kalangan warga luar bandar, warga emas, Orang Asli, serta OKU.
"Dengan mengambil kira isu pendaftaran yang dihadapi, KKMM melalui Jabatan Penerangan (JAPEN) sedang giat melaksanakan sesi penerangan dan hebahan kepada orang ramai untuk tampil mendaftar," katanya dalam temu bual bersama RTM yang disiarkan di Berita Perdana malam tadi.
Menurut beliau sejak 30 Mac sehingga semalam, sebanyak 24,664 pendaftaran vaksin COVID-19 di seluruh Malaysia telah berjaya dilakukan melalui Program Info on Wheels (IOW) anjuran kementerian itu.
Dalam temu bual itu, Saifuddin turut memuji bakti petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan yang berdepan secara langsung dalam membendung COVID-19.
"Saya sendiri pernah mengalami pengalaman dijangkiti COVID-19, jadi saya tahu perkara ini bukan main-main kerana memang kita bergelut antara hidup dan mati.
"Saya dikira bernasib baik jadi kita ambil iktibar dan prihatin dengan tugas petugas kesihatan yang berkorban tenaga jadi kita kena tolong ringankan beban mereka," katanya.
Saifuddin sebelum ini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selama 16 hari akibat COVID-19 dan kini dalam proses rehabilitasi paru-paru.
-- BERNAMA
#Saifuddin Abdullah #OKU #warga emas #COVID-19 #vaksin #KKMM
;