KKMM kenal pasti syarikat bantu penubuhan yayasan petugas media
Bernama
Mac 27, 2021 20:08 MYT
Mac 27, 2021 20:08 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang mengenal pasti syarikat yang dapat memberikan sumbangan kepada usaha penubuhan yayasan bagi membantu petugas media yang kehilangan pekerjaan.
Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berharap penubuhan yayasan itu dapat direalisasikan dalam tempoh satu hingga dua bulan ini.
"Kita tengah cari syarikat yang ada RM1 juta untuk memberikan sumbangan, sebab antara syarat (penubuhan) yayasan kena ada syarikat untuk memberi jaminan derma RM1 juta," katanya kepada pemberita ketika melawat laman media bagi Perhimpunan Agung UMNO 2020, di sini hari ini.
Beliau berkata penubuhan yayasan itu bertujuan membantu petugas media yang banyak berjasa kepada masyarakat.
"Petugas media banyak memberi jasa terutamanya dalam menyalurkan informasi kepada rakyat dan kalau mereka tidak dibela, maknanya peranan media itu tidak diambil kira," katanya.
Katanya melalui yayasan itu, kursus serta peluang perniagaan dalam bidang baharu dapat diwujudkan untuk petugas media yang kehilangan pekerjaan akibat perubahan industri dan kesan penularan COVID-19.
Sebelum ini, Zahidi berkata yayasan itu akan diuruskan persatuan berkaitan media dengan dibantu kerajaan.
-- BERNAMA