KKMM jadi suara kerajaan, rasa denyutan nadi rakyat
Astro Awani
September 12, 2021 11:27 MYT
September 12, 2021 11:27 MYT
KUALA LUMPUR : Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi jaminan akan menjadi suara kerajaan dan merasa denyutan nadi rakyat.
Demi memastikan perkara itu dilaksanakan, menterinya, Tan Sri Annuar Musa akan mengubah KKMM menjadi sebuah kementerian yang bukan sahaja membawa informasi kepada rakyat tetapi juga sebagai satu kementerian yang responsif dan proaktif kepada keperluan rakyat.
"KKMM bukan sahaja akan menjadi suara kerajaan tetapi merasakan nadi setiap rakyat, selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang akan menghubungkan Putrajaya kepada rakyat di setiap pelosok negara, meskipun di kampung yang paling terpencil.
"Sebaik sahaja saya mengangkat sumpah untuk menerajui KKMM pada 30 Ogos, saya telah terus mengambil pendekatan untuk mengenali peranan setiap Jabatan iaitu Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) serta Agensi iaitu BERNAMA, FINAS, MCMC, MDEC, MyNIC, Cybersecurity Malaysia dan MyCreative Ventures.
"Selama dua minggu yang lalu, setiap hari saya telah melawat, berjumpa, mendengar taklimat dan mengadakan sesi libat urus dengan pengurusan tertinggi dan kakitangan semua Jabatan dan Agensi di bawah KKMM, dari unit yang paling kecil sehinggalah yang paling besar seperti RTM dan JaPen," jelasnya.
Beliau turut memberi jaminan akan mejadikan KKMM sebagai kementerian yang akan memberikan informasi yang tepat dan jitu, tetapi saya juga mahu KKMM menjadi satu kementerian yang proaktif, bersama dengan rakyat dan memastikan setiap rakyat Malaysia tidak kira di mana jua mereka berada, mempunyai akses dan connectivity yang berkualiti.
"Saya juga mahu memastikan kerajaan hari ini akan mengamalkan konsep kebebasan media yang bertanggungjawab. Oleh itu, adalah penting untuk KKMM reinvent, rejuvenate dan menjadi lebih kreatif supaya KKMM akan terus menjadi saluran yang berkredibiliti dan berfungsi dengan efisien.
"Saya berharap semua kakitangan KKMM bersedia untuk bekerja dan menjadi suara kerajaan yang responsif, seiring dengan aspirasi rakyat untuk bersama membina Keluarga Malaysia," ujarnya.