KKMM harap polisi kesalinghubungan internet dipertimbang dalam Belanjawan 2021
Hasimi Muhamad
November 2, 2020 14:41 MYT
November 2, 2020 14:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berharap kesalinghubungan internet di negara ini dapat diletakkan sebagai utiliti awam ketiga sebaris dengan utiliti utama negara selepas bekalan air dan elektrik.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu telah dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa fizikal negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua minggu lalu.
Justeru, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, pihaknya berharap cadangan polisi itu akan diketengahkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.
"Kita berharap kesalinghubungan internet itu akan diterima sebagai utiliti ketiga dan ini tidak melibatkan soal dana kerana dana itu sudah sedia ada.
"Namun ia mengambil kira polisi menjadikannya sebagai utiliti awam seperti mana kepentingan bekalan air dan elektrik," katanya kepada pemberita ditemui selepas sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata secara asasnya cadangan tentang hasrat tersebut telah dipersetujui mesyuarat jawatankuasa fizikal negara, dan dibentangkan kepada beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin berpendapat pembentangan Belanjawan 2021 akan mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ini kerana jelasnya, ia mengambil kira suasana persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung positif hari ini.
"Saya dapat rasakan dalam kalangan ahli parlimen pada peringkat awal terasa macam perasaan yang berbelah bagi sejak dua minggu lalu, namun hari ini semua datang dengan semangat tinggi menyedari persidangan kali ini penting untuk fokus Belanjawan 2021," jelasnya.
#Dewan Rakyat
#Ketua Menteri
#Menteri Besar
#Internet
#bekalan air
#Saifuddin Abdullah
#Belanjawan 2021
#Utiliti ketiga negara
#Belanjawan 2021 Digitalisasi