KKMM, CyberSecurity Malaysia komited perkukuh keselamatan ruang siber negara

Bernama
Jun 28, 2021 21:05 MYT
Saifuddin berkata di era teknologi digital hari ini, keselamatan siber menjadi lebih berisiko dan rumit kerana semakin berkembang teknologi maka semakin kompleks dan sofistikated ancaman serta serangan siber yang berlaku. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama agensinya CyberSecurity Malaysia sentiasa bertindak secara proaktif dan komited bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan ruang siber negara, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.
Menurutnya, CyberSecurity Malaysia, dengan kemampuan dan keupayaan dari segi kepakaran tenaga kerja serta disokong kelengkapan prasarana makmal, akan terus menawarkan perkhidmatan, sokongan dan bantuan teknikal serta program latihan profesional kepada semua pihak bagi meningkatkan ekosistem keselamatan siber negara
"Semua pihak harus bekerjasama bagi mengukuhkan ekosistem keselamatan siber negara dengan memperkemaskan tadbir urus berlandaskan piawaian serta amalan terbaik keselamatan siber, meningkatkan kemahiran dan kepakaran, berkongsi maklumat bagi merangka strategi dan prosedur keselamatan siber yang lebih efektif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menyahut saranan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber 2021 (CYDES 2021) hari ini agar keselamatan siber menjadi bidang tumpuan utama kerajaan yang harus diberi perhatian wajar oleh semua pihak bagi membanteras ancaman dan jenayah siber.
Saifuddin berkata CyberSecurity Malaysia melalui program SiberKASA telah menghasilkan sebanyak 35 produk dan perkhidmatan keselamatan siber meliputi Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber, Perkhidmatan Proaktif Keselamatan Siber, Jangkauan dan Pembangunan Kapasiti, Kajian Strategik dan Penglibatan serta Pembangunan Industri dan Penyelidikan.
Produk dan perkhidmatan berkenaan juga telah diklasifikasikan di bawah tiga komponen iaitu manusia, proses dan teknologi sebagai pendekatan holistik untuk membangun, memperkasa, melestari dan mengukuhkan prasarana serta ekosistem keselamatan siber di Malaysia, katanya.
Saifuddin berkata di era teknologi digital hari ini, keselamatan siber menjadi lebih berisiko dan rumit kerana semakin berkembang teknologi maka semakin kompleks dan sofistikated ancaman serta serangan siber yang berlaku.
"Penjenayah siber juga lebih aktif, berani dan semakin canggih malah mereka menggunakan kaedah baharu, teknik serta taktik yang lebih berkesan untuk melancarkan sesuatu ancaman dan serangan siber sehingga ia berupaya memberi impak negatif terhadap pembangunan negara serta menggugat kesejahteraan dan keharmonian rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#KKMM #CyberSecurity Malaysia #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #ruang siber negara #Saifuddin Abdullah #CYDES 2021 #siberkasa
;