KKMM cadang tubuh persatuan seni kreatif - Zahidi
Bernama
Oktober 9, 2021 04:04 MYT
Oktober 9, 2021 04:04 MYT
KANGAR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang untuk menubuhkan Persatuan Seni Kreatif di peringkat kebangsaan dan seterusnya ke setiap negeri bagi mempermudahkan penyelarasan usaha untuk memajukan lagi industri terbabit.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata dengan adanya persatuan khusus dalam bidang berkenaan melibatkan kementerian, proses untuk menyediakan dana khusus juga lebih mudah kerana ia dapat disalurkan terus kepada kumpulan sasar.
"Kita akan kumpulkan penggiat seni kreatif dan tubuhkan persatuan ini dan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), kerana ia juga melibatkan budaya dan belia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan dan Penyerahan Surat Tawaran Dana serta Sumbangan Keluarga Malaysia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sempena Program Komuniti@Finas (KoFI) di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Teknikal) Finas Syirfan Indra Mitra Surya Hussin.
Zahidi berkata dengan penubuhan persatuan itu juga ia membuka ruang kepada para penggiat seni kreatif turun temurun atau tradisional, untuk mewariskan ilmu seni mereka kepada generasi muda.
"Kalau di Perlis, contohnya seni 'Awang Batil', mungkin kita boleh adakan pewaris dan buat inovasi agar persembahannya lebih menarik dengan penceritaan lebih moden, namun tidak menjejaskan nilai asli seni itu," katanya.
Beliau berkata seperti boria dan Makyong, persembahan seni itu sudah dipelopori oleh generasi muda dan usaha berterusan perlu dilakukan untuk memelihara persembahan-persembahan tradisi yang menjadi sebahagian warisan bangsa.
"Kita harap dengan menceburi bidang seni kreatif ini juga ia dapat meningkatkan pendapatan rakyat seterusnya negara... cadangan ini akan dilaksanakan segera demi kemajuan industri kreatif negara," katanya.
Sementara itu, mengenai KoFI, beliau berkata program yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini, melibatkan beberapa komponen antaranya Bengkel Pembangunan Modal Insan Kreatif, Sesi Pitching Dana Mikro Prisma dan Ziarah CSR: Keluarga Malaysia Finas.
Katanya, melalui Sesi Pitching Dana Mikro Prisma, peruntukan sejumlah RM400,000 di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) disediakan bagi menghasilkan 40 projek kandungan kreatif.
"Program KoFI membuka ruang komersial untuk ketengahkan keunikan signifikan di Perlis misalnya lokasi Padang Besar menerusi dokumentari khas yang berupaya menarik perhatian produksi domestik dan antarabangsa untuk dijadikan latar tempat bagi penghasilan sesebuah karya kandungan kreatif," katanya.
-- BERNAMA