KKMM arah Finas nilai kandungan filem 'New Village'
Bernama
Julai 28, 2013 07:27 MYT
Julai 28, 2013 07:27 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengarahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menilai kandungan filem 'The New Village' (Kampung Baru) yang bakal ditayang pada Ogos ini.
Treler filem arahan Ong Kew-Lit itu mencetus kontroversi dan mengundang pelbagai reaksi kerana mengangkat perjuangan komunis sebagai hero bagi membebaskan Tanah Melayu.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu penting bagi memastikan tiada tayangan filem yang boleh memudarat atau mencetus pelbagai perkara negatif dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Bagi saya, kalau filem itu menggugat, memaparkan fahaman komunis serta perkauman, kita tidak ragu-ragu akan bertindak dan meminta pihak berkuasa untuk mengambil langkah sewajarnya supaya ia tidak ditayangkan," katanya selepas meraikan 120 anak yatim dan miskin dalam Parlimen Kemaman, yang dibelikan baju raya di sebuah pasar raya.
Anggota Parlimen Kemaman itu berkata Finas boleh mengharamkan filem berkenaan jika terbukti menimbulkan semangat perkauman, dan orang ramai diminta agar tidak cepat menghukum 'New Village' hanya berdasarkan treler yang dipapar di YouTube.
Ahmad Shabery berkata jalan cerita filem itu perlu dikaji secara mendalam bagi memastikan ia benar-benar bebas unsur negatif.
"Kalau kita belum tengok lagi dah haramkan, saya bimbang ia akan membantu untuk terus mempromosi filem atau apa-apapun kandungan yang lain kerana ia tidak boleh ditayangkan di panggung wayang... tetapi banyak lagi kaedah lain seperti tayangan secara online.
"Saya bersedia dikritik dan berilah peluang pihak saya untuk tengok dulu, dan Finas akan kaji perkara ini," katanya.
Berdasarkan treler, filem lakonan Lenna Lim, Kevin Soo, Teh Young, Kevin Soo dan Jeff Chin itu memaparkan kisah seorang komunis yang bercinta dengan seorang gadis Cina sehingga berlaku konflik dan menimbulkan persepsi bahawa pihak komunis adalah hero untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman British.