KKMM akan tubuh pasukan kaji Akta Antiberita Tidak Benar - Gobind
Bernama
Mei 22, 2018 13:30 MYT
Mei 22, 2018 13:30 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menubuhkan sebuah pasukan pakar undang-undang untuk mengkaji sama ada Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan April lepas patut dimansuhkan atau dipinda, kata menterinya yang baharu, Gobind Singh Deo.
Gobind berkata beliau dan pasukan itu akan mengkaji semua perkara berkaitan Akta Antiberita Tidak Benar sebelum mengemukakan satu cadangan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Kabinet esok.
"Saya fikir ramai orang hendak tahu apa itu berita tidak benar, siapa yang boleh menentukannya?
"Saya sering menegaskan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar telah dibawa ke Parlimen untuk kelulusan secara tergesa-gesa, tidak difikirkan dengan semasak-masaknya.
"Kesannya, undang-undang tersebut membawa pengertian yang amat luas dan boleh disalah guna. Itulah sebabnya kenapa kita perlu mengkajinya," kata Anggota Parlimen Puchong itu, yang memulakan hari pertamanya bertugas di kementerian pada 8.15 pagi ini.
Gobind yang memakai kot dan bertali leher belang merah, tiba dengan kenderaan rasminya.
Beliau diambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan para pegawai.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.
Selaku menteri yang baharu di kementerian berkenaan, Gobind, 45, berkata kebebasan media menjadi agenda utamanya dan beliau komited dalam hal itu, yang menjadi antara perkara yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan.
Namun katanya perkara itu perlu dibuat rujukan berdasarkan undang-undang sedia ada.
"Kebebasan media adalah keutamaan saya. Media membuat berita dan syarikat penerbitan terikat dengan undang-undang sedia ada jadi kami perlu melihat dari segi itu dan kami harus mencari kaedah yang kita boleh tingkatkan kebebasan akhbar di negara ini. Dan saya komited untuk melakukannya.
"Saya akan wujudkan satu kumpulan yang terdiri daripada pakar-pakar perundangan supaya mereka dapat lihat kepada impak undang-undang setakat ini, di mana ada kelemahan dan kami akan cuba perbaiki," katanya.
Antara perkara lain yang akan dikaji semula termasuk beberapa undang-undang berkaitan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang berkaitan aduan dan siasatan terhadap beberapa kes yang dilaporkan.
Selain itu, anggota Parlimen Puchong itu berkata beliau turut akan memberi perhatian serius terhadap keseluruhan aspek laporan berita dan mencari jalan bagaimana sistem televisyen tempatan dapat bersaing dengan saluran media antarabangsa.
Katanya, media tempatan perlu mempelajari daripada media antarabangsa untuk lebih berpengetahuan dalam penyampaian berita.
Gobind yang juga Timbalan Pengerusi DAP memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Warwick Britain dan Jurusan Undang-Undang dari Lincoln's Inn.
Beliau diterima masuk ke Badan Peguam Malaysia pada 1996 dan meneruskan legasi ayahnya iaitu bekas pemimpin veteran DAP mendiang Karpal Singh.
Penglibatan Gobind dalam bidang politik bermula 10 tahun lalu sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat sehingga kini dan pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa DAP Selangor sejak 2015 hingga tahun lepas.
-- BERNAMA
#Akta Antiberita Tidak Benar
#Gobind Singh Deo
#kabinet
#kaji semula
#Kementerian Komunikasi dan Multimedia
#KKMM
#Mahathir Mohamad
#pakar
#Parlimen
#Pasukan
#Perdana Menteri
#Puchong
#undang-undang