KKMM akan pastikan perkhidmatan telekomunikasi sesuai dengan bayaran - Annuar

Bernama
September 4, 2021 21:25 MYT
Annuar mengambil maklum mengenai kos yang perlu ditanggung oleh rakyat untuk membiayai bil bulanan. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mengadakan sesi libat urus bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan kemudahan yang disediakan kepada rakyat itu sesuai dengan bayaran yang dikenakan.
Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata beliau mengambil maklum mengenai kos yang perlu ditanggung oleh rakyat untuk membiayai bil bulanan secara relatif yang masih tinggi, berbanding pendapatan bulanan.
"Satu-satunya industri yang agak mempunyai daya tahan dari segi catatan kadar keuntungan termasuk sewaktu pandemik (COVID-19) adalah industri telekomunikasi.
"Seperti prinsip LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) jika anda mengutip lebih banyak, anda perlu mengagihkan dan berusaha untuk memberi semula dengan lebih banyak kepada rakyat, jadi atas semangat yang sama saya harap akan dapat kerjasama apabila melakukan keterlibatan supaya kemudahan infrastruktur yang ada akan membolehkan ketersambungan lebih baik bukan sahaja dari segi ketersediaan tetapi juga kualiti dan kelajuan supaya sesuai dengan kos," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan sumbangan Program CSR Prihatin LHDN kepada 31 orang penerima di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di Padang Kala, Peringat, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh sekali lagi menekankan bahawa akses kepada kemudahan Internet perlu dianggap sebagai hak asasi kepada semua orang.
"Insya-Allah setelah sesi rundingan dan libat urus bersama pemegang taruh nanti, saya akan maklumkan usaha penambahbaikan bukan sahaja kepada ketersambungan dan ketersediaan Internet malah kualiti yang dapat kita berikan dalam bidang ini.
"Ini memerlukan kerjasama daripada banyak pihak, kementerian akan mengambil langkah tersebut kerana saya juga ingin menjaga industri telekomunikasi supaya sentiasa harmonis dan berkembang dengan baik, subur tetapi pada masa yang sama hendaklah sentiasa menjaga kepentingan pengguna serta rakyat secara keseluruhan," katanya.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #KKMM #telekomunikasi #kos
;