KKM, WHO terus hubungan bersama dua hala tingkat penjagaan kesihatan di Malaysia

Bernama
Januari 10, 2023 13:29 MYT
Dr Zaliha berkata, kerjasama itu ditingkatkan terutama dalam kesihatan digital, pembaharuan penjagaan kesihatan dan pembiayaan serta pengurusan penyakit berjangkit. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan hubungan bersama pelbagai hala dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam meningkatkan pembaharuan penjagaan kesihatan di negara ini, kata Menterinya Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata adalah perlu untuk meningkatkan kerjasama sedia ada terutama dalam kesihatan digital, pembaharuan penjagaan kesihatan dan pembiayaan serta pengurusan penyakit berjangkit.
Dr Zaliha berkata perkara itu telah dibincangkan semasa kunjungan hormat Wakil WHO dan Ketua Pejabat Negara WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Dr Rabindra Abeyansinghe, semalam.
"Di sinilah WHO boleh terus menyediakan bantuan teknikal untuk meningkatkan kapasiti serta peluang untuk menyerlahkan peranan kepimpinan Malaysia dalam isu kesihatan serantau dan global.
"Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tindakan segera yang diperlukan bagi memastikan penduduk kekal sihat di samping memastikan penjagaan kesihatan yang mampan dalam jangka masa panjang," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Bagi meneruskan komitmen Malaysia, Dr Zaliha berkata perbincangan itu turut menyentuh mengenai mengurangkan penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan diet, menangani beban berganda kekurangan zat makanan dan meningkatkan status pemakanan.
"Kementerian prihatin terhadap kesihatan global dan pengurusan NCD melalui pelbagai program berasaskan komuniti," katanya.
Pada masa ini, beliau juga berkata kementerian memberi tumpuan kepada pembangunan Kertas Putih Kesihatan merangkumi kenyataan kolektif dengan tujuan untuk menjadi sistem kesihatan yang mampan dan berdaya tahan melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat.
Turut hadir dalam pertemuan itu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah (Bahagian Perancangan) serta pegawai kanan KKM Dr Rozita Halina Tun Hussein.
Dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO ke-152 akan datang, Dr Zaliha berkata KKM akan mencadangkan draf resolusi mengenai 'Sains Tingkah Laku Untuk Kesihatan Lebih Baik' yang diadakan pada 30 Jan hingga 7 Feb di Geneva, Switzerland iaitu Malaysia adalah Naib Pengerusi Pertama Lembaga Eksekutif itu.
-- BERNAMA
#penjagaan kesihatan #KKM #WHO #Zaliha Mustafa
;